19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

Munajat ikat kesatuan Muslimat hadapi mehnah

Berita
Typography
LUMUT: Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut telah menganjurkan Iftar Jamaie dan Munajat Akifi yang diadakan di Homestay Ustazah Saidah Mokhtar di Fasa 1A, Seri Manjung, di sini semalam.
 
Penganjuran ini berikutan arahan Dewan Muslimat PAS Malaysia agar Qunut Nazilah dan doa Rabitah dibaca setiap hari secara serentak di seluruh Malaysia pada pukul 10 malam. 
 
Arahan tersebut bertujuan untuk mewujudkan kesatuan hati dan fikrah dalam kalangan semua ahli PAS bagi menghadapi cabaran iklim politik Malaysia masa kini.
 
Aktiviti yang menghimpunkan lebih 50 anggota Muslimat dari seluruh PAS Cawangan dalam kawasan ini bermula dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat sunat hajat dan solat sunat taubat.
 
Ketua Muslimat, Rohawati Abidin turut menyampaikan tazkirah membangkitkan semangat Muslimat yang hadir agar terus mempertahankan kesucian Islam dan perjuangan PAS.
 
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Lumut, Putiah Shahrani berharap agar para Muslimat istiqamah bermunajat walaupun dilakukan secara sendirian atau berkumpulan di peringkat Cawangan.
 
Program tersebut diakhiri dengan doa Rabitah dan bacaan Qunut Nazilah yang dipimpin sendiri oleh Putiah. - HARAKAHDAILY 19/2/2019