Pelajar diajar jujur, menteri tipu sijil

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pelajar sama ada di sekolah atau universiti diajar bersikap jujur, sebaliknya ada menteri sekarang yang menipu sijil.

Pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus berkata, tipu sijil merupakan sikap tidak amanah yang tidak sepatutnya berlaku.

Sebaliknya kata beliau sekarang ada pula menteri yang tipu sijil akademik.

“Buanglah. Macam mana di sekolah atau universiti kita mengajar anak murid supaya jujur sebaliknya sekarang ada menteri tipu sijil,” katanya pada kuliah perdana di Medan Ilmu hari ini.

Program itu diadakan sempena Hari Murabbi Ummah yang bermula sejak semalam sehingga esok.

Malam ini akan berlangsung bicara Murabbi Ummah Nusantara di Stadium Sultan Muhammad IV yang akan disampaikan ikon dakwah terkenal Ustaz Abdul Somad.

Ustaz Abdul Somad dari Indonesia dijangka menziarahi makam Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka sebaik tiba di Kota Bharu tengah hari ini.

Beliau juga dijadualkan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Muhammadi.

Kebelakangan ini tular di media massa beberapa pemimpin Pakatan Harapan dikaitkan dengan memalsukan sijil akademik.

Terbaru Menteri Besar Johor Dato’ Osman Sapian dilapor mengakui beliau tidak menamatkan pengajian di UPM.

Manakala malam tadi berlangsung forum perdana membabitkan anggota parlimen Kubang Kerian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan anggota parlimen Pasir Puteh Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh di Dataran Warisan.

Forum itu dimoderator anggota parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadzli Shaari. Ribuan anak muda hadir pada program berkenaan. - HARAKAHDAILY 15/2/2019

Ustaz Azhar Idrus di Medan Ilmu

Ustaz Azhar Idrus di Medan Ilmu.

Orang ramai mengikut kuliah Ustaz Azhar Idrus

Orang ramai mengikuti kuliah Ustaz Azhar Idrus.