23
Fri, Aug
23 Artikel Baru

Adun PAS Perak ziarah keluarga arwah Adib

Berita
Typography

KUALA KEDAH: Keluarga Pegawai Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menyambut mesra kunjungan Adun PAS Negeri Perak ke majlis tahlil sempena memperingati kesyahidannya di Kampung Tebengau, di sini semalam.

Rombongan diketuai Adun Semanggol yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria itu disertai Adun Selama Ustaz Mohd Akmal Kamarudin juga selaku Ketua Pemuda PAS Perak dan wakil kepada Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya.

Mereka juga disambut oleh PAS Kawasan Kuala Kedah dan berkesempatan mengambil peluang menziarahi pusara Allahyarham Adib di Masjid Saadah Kampung Tebengau, berhampiran situ.

Majlis tahlil bermula selepas solat Isyak dipimpin oleh Razman Zakaria dan sejurus tahlil, peguam yang terlibat dalam inkues kes memberi penjelasan mengenai perkembangan siasatan kepada hadirin.

Dalam kesempatan menyampaikan ucapan, Razman menyeru supaya umat Melayu Muslim agar dapat bersatu padu dengan ikatan Islam supaya nasib bangsa akan dapat dibela secara adil.

Beliau berharap kes siasatan dapat dijalankan secara telus dan berdoa agar Allah S.W.T menunjukkan kebenaran punca sebenar kematian Allahyarham.

"Sekiranya benar kematian ini berpunca daripada pembunuhan, kita doakan semoga mereka yang bersalah dalam pembunuhan ini mendapat balasan yang setimpal daripada Allah S.W.T," ujarnya. - HARAKAHDAILY 15/2/2019