19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

Menteri DAP jebak PDRM dengan wang judi?

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan yang dipimpin Menteri daripada DAP gagal untuk menjaga sensitiviti dan kepentingan rakyat termasuk penjawat awam terutama perkara paling berkait sensitiviti agama dan kaum.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, isu penajaan oleh syarikat perjudian Da Ma Cai untuk lawatan bagi Ketua Polis Negara dan rombongannya mengikuti kursus di Turki harus dibebankan kepada Menteri Kewangan.

Jelas beliau, kursus sepenting itu sepatutnya dibiayai negara menerusi peruntukan melalui Kementerian Kewangan dan bukannya penajaan luar yang mungkin mempunyai pelbagai kepentingan lain tidak sewajarnya.

Apatah lagi katanya, tajaan dari sumber industri judi yang kepada orang Islam, sama ada ianya dilesenkan atau tidak oleh kerajaan, hukumnya tetap haram di sisi agama dan dilaknat oleh Allah S.W.T.

"Saya simpati kepada pihak Polis yang terdiri daripada orang-orang Melayu Islam. Saya percaya, kalau mereka mengetahui bahawa lawatan itu ditaja oleh syarikat perjudian, sudah tentu mereka akan menolaknya.

"Polis negara kita mempunyai lambang yang tertera kalimah Allah dan Muhammad, sudah pasti mereka akan menjaga kesucian lambang itu sendiri. Jadi dalih Kementerian Kewangan ini amat mengecewakan.

"Saya penuh yakin, pihak Polis tidak tahu menahu langsung sumber kewangan untuk menampung lawatan atau kos mereka itu. Sepatutnya dana atau peruntukan seperti ini mesti dari Kementerian Kewangan," ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Kegagalan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengawal sensitiviti tersebut dicurigai juga sebagai satu muslihat atau wujud motif disebalik di mana juga telah memperdayakan dan memalitkan imej buruk kepada badan keselamatan tersebut. - HARAKAHDAILY 15/2/2019