18
Thu, Jul
38 Artikel Baru

Gajah ancam kehidupan penduduk Kg Chepor

Berita
Typography

LENGGONG: Pagar elektrik yang tidak diselenggara dengan baik adalah antara punca ancaman kumpulan gajah liar berterusan di kawasan ladang getah dan kelapa sawit di Kampung Chepor, di sini.

Ketua PAS Cawangan Kampung Chepor, Anuar Burhan berkata, semasa Pakatan Rakyat (PR) memerintah negeri Perak pada 2008, pagar elektrik dibina untuk mengelak ancaman mamalia itu dan diurus serta diselenggara dengan baik.

Namun menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pagar elektrik yang dibina dengan peruntukan jutaan ringgit itu sudah mengalami kerosakan di sana sini akibat tidak diurus dengan baik.

Padahal ujarnya, ada peruntukan sebanyak RM14,000 setahun untuk penyelenggaraan pagar berkenaan supaya dapat mengekang kemasukan kumpulan gajah ke kawasan ladang getah dan kelapa sawit milik penduduk.

"Pagar itu yang dibina semasa PR memerintah, diselenggara dengan baik oleh seorang pekerja dan berjaya menghalang kemasukan kumpulan gajah ke kawasan ladang milik penduduk.

"Bagaimana pun beberapa tahun kebelakangan ini, setelah diserahkan kepada kontraktor, penyelenggaraannya tidak dibuat dengan baik.

"Apabila pagar itu mengalami kerosakan di sana sini, dengan mudah haiwan liar itu boleh masuk dan merosakkan tanaman milik penduduk," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chepor, semalam.

Beliau yang menjawat jawatan Ketua Kampung semasa PR memerintah pada 2008 menjelaskan, kumpulan lebih enam ekor gajah itu seolah-olah telah menjadikan kawasan ladang getah dan kelapa sawit kepunyaan penduduk itu sebagai habitatnya.

Terangnya, kemasukan kumpulan gajah itu telah menyebabkan ratusan pokok getah dan kelapa sawit dalam kawasan seluas puluhan hektar ladang mengalami kerosakan teruk.

Maklum beliau, puluhan pokok getah dikopak kulit dan dicabut perdu, manakala pokok-pokok kelapa sawit ditumbangkan dan dicabut pucuknya.

Seorang pengusaha ladang kelapa sawit, Zakaria Awang Kecil, 68, berkata dia bimbang pokok-pokok kelapa sawit di ladangnya yang baru mengeluarkan hasil turut menjadi ancaman kumpulan haiwan liar itu.

Ceritanya, baru-baru ini banyak pokok kelapa sawit di ladang jiran sebelah ladangnya telah dirosakkan dengan ditumbangkan dan lebih banyak pula dicabut pucuknya.

"Ada lebih enam ekor gajah itu, termasuk seekor anak kecil yang boleh dikatakan sentiasa ada di kawasan ladang, walaupun renjer-renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sering datang membuat pemantauan," ujarnya.

Sementara itu seorang penduduk, Ustazah Rohani Osman, 68, yang tinggal di hujung kampung ketika ditemui berkata, haiwan liar itu selain merosakkan tanaman, turut masuk hingga ke kawasan berhampiran rumah.

Menurutnya, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi beberapa hari lepas, ketika dia sedang solat Tahajjud di anjung rumahnya terdengar bunyi sesuatu di luar rumah di bahagian dapur.

Maklum beliau, oleh kerana dia dan dua adik perempuannya sahaja yang tinggal dalam rumah dan dia seorang sahaja bangun malam pada pagi itu, dia bimbang hendak membuka pintu untuk melihat perkara yang berlaku.

Apabila bunyi itu telah seperti berlaku di dapur rumah ceritanya, dia terus melaungkan azan sehingga dua kali sebelum akhirnya tidak kedengaran bunyi apa-apa lagi.

"Keesokan paginya itu baharu kami tahu, seekor gajah datang dan telah memasukkan belalai ke dalam melalui tingkap cermin yang terlupa hendak ditutup," ujarnya.

Menurutnya lagi, gajah itu dengan menggunakan belalainya telah menyebabkan kepala paip dapur pada tong gas di dapur rumah jadi bersih, kemungkinan haiwan itu hendak mencari garam.

"Mungkin gajah itu hendak mencari garam, mujurlah tidak ada apa-apa kerosakan yang berlaku," katanya.

Ustazah Rohani berkata, itulah pertama kali gajah datang menghampiri rumah mereka yang terletak di hujung kampung dan jauh daripada rumah-rumah jiran. - HARAKAHDAILY 15/2/2019  

IMG 20190215 WA0000

IMG 20190215 WA0001

IMG 20190215 WA0003