Pemuda Johor gesa pihak berkuasa siasat DAP

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan berhubung dakwaan DAP menerima dana asing.

Laporan itu dibuat Ketua Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ), Juwahir Amin yang turut diiringi lebih 50 individu di Balai Polis Simpang Renggam, jam 2 petang tadi.

Hadir sama termasuk Naib Ketua DPPNJ, Faizul Hakim Ahmad dan Setiausaha DPPNJ Abdul Hadi Harun serta Yang Dipertua PAS Simpang Renggam, Ilias Ithnin.

Juga Ketua Pemuda PAS Simpang Renggam, Mohamad Firdaus Adnan dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said.

“Hal tersebut dipercayai berlaku secara sulit, menyalahi integriti dan undang-undang di mana mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara.

“Kami meminta polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) melakukan siasatan terhadap DAP kerana dakwaan ini memang telah tular di media sejak beberapa tahun ini tetapi kita lihat tiada tindakan tuntas pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Kami juga berharap tidak ada campur tangan politik dalam siasatan kes ini kerana kita mahu siasatan yang telus sama ada dakwaan ini betul atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi. - HARAKAHDAILY 13/2/2019 

IMG 20190213 WA0067