19
Fri, Apr
35 Artikel Baru

Dana asing: Ambil tindakan segera

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Dana asing yang didakwa diterima oleh DAP merupakan perkara yang serius dan membimbangkan kerana mengancam keselamatan negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu telah lama didedahkan di dalam blog-blog dan juga portal-portal.

"Yang mendedahkan berkait dengan dana asing yang diterima oleh pihak DAP melalui beberapa agensi ataupun badan-badan yang berkait dengannya.

"Ianya adalah satu perkara yang sangat besar dan mengancam keselamatan negara, yang perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Negeri Terengganu, di sini, hari ini sejurus membuat laporan berkaitan dana asing yang didakwa diterima oleh DAP.

Tindakan membuat laporan polis tentang dana asing yang diterima DAP berkenaan, menurutnya telah diadakan serentak di seluruh negara.

"Jadi dengan 'report' yang dibuat pada hari ini pihak berkuasa hendaklah mengambil satu tindakan yang tegas, menyiasat apa yang berlaku ini.

"Bukan sahaja menyiasat daripada parti pembangkang khususnya PAS yang baru ini disoal siasat oleh SPRM, tapi ini kes yang lagi serius, mengancam keselamatan negara," jelasnya.

Menurutnya lagi, apa yang diharapkan adalah pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk menyiasat DAP secara khususnya.

"Yang kita dedahkan dalam report ini, (DAP) mendapat dana yang mengandungi jumlah yang tertentu.

"Tidak pasti jumlah banyak mana. Tetapi sebagaimana yang didedahkan, di mana perlu disiasat dengan segera oleh pihak berkuasa," tegasnya

Mengenai bentuk tindakan bagaimana yang diharapkan oleh Pemuda PAS, beliau menyatakan ianya adalah mengikut lunas undang-undang untuk diserahkan kepada pihak berkuasa

"Yang penting melalui proses disiasat terlebih dahulu kemudian kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya perkara berkenaan sudah lama didedahkan sejak sebelum PRU 14, bahkan telah berlangsung kemungkinan setahun dan dua tahu yang lepas. – HARAKAHDAILY 13/2/2019
.