Penduduk desak batal operasi kuari G. Pulai

Berita
Typography

BALING: Penduduk mendesak Kerajaan Negeri Kedah segera membatalkan projek kuari yang akan beroperasi di mana berisiko menjejaskan kehidupan mereka di Gunung Pulai, di sini.

Berikutan tidak puas hati dengan kesan bakal dialami mereka tanpa ditangani sewajarnya, penduduk dari Pulai, Singai Limau, Dalam Wang dan Teluk Teduri berhimpun di kaki gunung itu, kelmarin.

Menurut Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud, penduduk mungkin menerima kesan sampingan seperti habuk dan sebu daripada projek itu.

Selain itu maklumnya, sebagaimana pernah terjadi, aktiviti kuari boleh menyebabkan rumah penduduk mengalami keretakan, penyakit serta sisa banjir, termasuk menjejaskan tanaman pertanian mereka.

"Kerajaan negeri belum memuktamadkan secara hitam putih untuk membatalkan projek yang telah diluluskan sejak zaman BN ini. Jika diteruskan, kami akan terima nasib sama seperti penduduk Bukit Puyuh.

"Kehidupan mereka juga terjejas akibat kuari batu di situ sejak dari tahun 1969 lagi. Malah, sumber minuman bagi 7,000 penduduk juga diancam bahaya," ujar beliau.

Tambahnya, penduduk bimbang air Sungai Ketil dan loji tapisan air yang beroperasi di situ akan dicemari serta meninggalkan kesan buruk kepada pengguna.

Sebaliknya seru beliau, kerajaan harus melihat potensi alam semulajadi di Gunung Pulai yang antaranya memiliki 12 gua untuk dibangunkan sebagai kawasan agro pelancongan serta habitat faura fauna. - HARAKAHDAILY 11/2/2019