26
Fri, Apr
22 Artikel Baru

Berbudi pada tanah dengan inisiatif tani

Berita
Typography

BALING: Adun Kupang, Brig Jen (B) Dato' Najmi Ahmad telah melaksanakan projek perintis penanaman sayur-sayuran di tanah bersebelahan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), Taman Mesra Kupang, di sini hari ini.

Projek tersebut dijalankan sebagai inisiatif awal bagi mengembangkan kempen untuk menghidupkan tanah kosong bagi kegiatan pertanian seumpama itu yang mendatangkan hasil bermanfaat.

Menerusi langkah dimulakannya itu, beliau berharap ianya menjadi teladan diikuti penduduk untuk diperluaskan usaha sama di seluruh Dun tersebut yang sememangnya mempunyai tanah subur.

Menurut beliau, usaha berdikari dan kegiatan sedemikian sebenarnya termasuk dalam tuntutan Islam di mana saling berkait dengan keperluan kehidupan sebagaimana dinyatakan pada ayat 60 surah al-Naml.

Malah katanya, berbudi pada tanah merupakan usaha yang pasti tidak sia-sia hinggakan tokoh sosiologi Islam, Ibnu Khaldun mengupas mengenai usaha menghidupkan tanah sebagai sebahagian ketamadunan manusia.

"Tiada seorang Muslim itu menanam dan bertani di mana hasil tanamannya itu dimakan manusia atau haiwan, melainkan dia akan menerima ganjaran sedekah," ujarnya memetik satu riwayat hadis Muslim.

Pada peringkat awal ini, Dato' Najmi menjadikan kacang panjang, timun dan jagung sebagai tanaman perintis di tanah tersebut dengan dibantu pegawai beliau, Sabri Bakar. - HARAKAHDAILY 28/1/2019 

IMG 20190128 WA0037