21
Tue, May
32 Artikel Baru

PRK CH: Rakyat sedar PH ikut telunjuk DAP

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kegagalan DAP merampas kemenangan kerusi daripada BN pada PRK P.078 Cameron Highland menjadi kekalahan pertama PH sejak menerajui pemerintahan kerajaan dalam tempoh 8 bulan ini.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Kedah, Zulkifli Che Haron berkata, keputusan itu juga petunjuk bahawa rakyat semakin sedar bahawa Kerajaan PH sebenarnya berada di bawah telunjuk DAP.

Menurut beliau, antara faktor kemenangan BN adalah apabila ahli PAS telah menunjukkan sikap matang dan proaktif ke arah usaha mengukuhkan muafakat pembangkang sebagaimana formula dikemukakan pimpinan parti Islam itu.

"Walaupun sekian lama lebih 60 tahun PAS dan Umno bertembung di pentas politik. Tetapi pertambahan jumlah undi di setiap peti undi berbanding keputusan PRU14 lalu menunjukkan PAS mempunyai ahli yang berkualiti.

"Malah menunjukkan ahli PAS matang dan cepat memahami aspirasi serta gagasan baharu setiap arahan pimpinan dari perubahan politik negara pasca PRU14. Begitu juga kehadiran pemimpin PAS di pentas Umno sepanjang kempen PRK ini.

"Ini menunjukkan, dasar perjuangan yang dibawa PAS sudah dapat diterima oleh ahli-ahli Umno. Ini sebenarnya kebimbangan dan trauma buat DAP. Sebab itu mereka membuat serangan kepada PAS mutakhir ini," ujarnya yang berasal dari Alor Setar.

Aktivis NGO itu juga berkata, lebih menarik apabila Orang Asli tertarik dengan kekuatan prinsip yang dipegang oleh PAS di mana perkembangan itu bakal mempengaruhi situasi politik selepas ini.

Beliau menyeru supaya persefahaman politik sebagaimana berlaku di PRK ini diperkukuhkan lagi di semua peringkat merealisasikan muafakat pembangkang menghadapi PRU15 akan datang. - HARAKAHDAILY 26/1/2019