Hari Murabbi Ummah cetus kesedaran agama

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menganjurkan program Hari Murabbi Ummah untuk mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab kepada agama.

Program itu akan dimeriahkan dengan kehadiran pendakwah terkenal Indonesia Ustaz Abdul Somad.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, program berkenaan juga bertujuan mengambil semangat perjuangan almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz yang menjadikan Rasulullah saw sebagai cara hidup.

Katanya, program julungkali pernah diadakan itu bertujuan membentuk rumahtangga, masyarakat dan negara mengikut acuan Islam.

“Almarhum Tuan Guru menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai rujukan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan sepanjang menjadi Menteri Besar,” ujarnya pada sidang media di sini petang semalam.

Menurutnya juga Ustaz Abdul Somad diundang kerana beliau merupakan seorang pendakwah yang menjadi ikon anak muda sekarang.

Malah pendakwah Indonesia itu juga mengenali almarhum Tok Guru dan Kelantan.

Program berkenaan diadakan 14 hingga 16 Februari hadapan di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, Dataran Warisan dan Kelantan Trade Cantre (KTC).

Pada 14 Februari diadakan Daurah Wanita bermula pagi hingga tengahari di KTC. Pada 15 Februari program khas anak muda bermula petang sehingga menjelang Maghrib.

Pada malam itu Ustaz Abdul Somad akan menyampaikan Bicara Murabbi Nusantara di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. - HARAKAHDAILY 24/1/2019