24
Fri, May
21 Artikel Baru

Elak tebang hutan, sila cepat bayar royalti

Berita
Typography

KOTA BHARU: Sekiranya benar Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kehidupan masyarakat Orang Asli, sila percepat bayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Dato' Mohd Amar berkata, Kelantan tidak akan menebang balak lagi sekiranya kerajaan pusat membayar royalti seperti termaktub dalam perjanjian.

"Dengan bayaran royalti sejumlah RM500 hingga RM700 juta setahun sudah dapat membantu rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Orang Asli," katanya pada sidang media di Kota Darulnaim petang semalam.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjuran Sambutan Hari Murabbi Ummah di Bilik Gerakan.

Selasa lepas kerajaan Persekutuan mengambil tindakan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu terhadap kerajaan Kelantan dan lima syarikat berhubung aktiviti pembalakan dan perladangan di Pos Simpor, Gua Musang.

Pada Jumaat lepas Peguam Negara, Tommy Thomas dilapor mendakwa lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat mengakibatkan Orang Asli dinafikan tanah adat dan menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap hutan.

Mohd Amar juga berkata, hasil yang diperolehi kerajaan negeri melalui pembalakan hanya sekitar RM100 hingga RM150 juta setahun.

Katanya juga kerajaan negeri tidak pernah mengganggu kehidupan masyarakat Orang Asli.

Malah penempatan disediakan untuk mereka sama ada lot kediaman atau tanah pertanian. - HARAKAHDAILY 24/1/2019