Kit Siang bohong fakta tuduh TG Abdul Hadi

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: PAS menasihati pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang agar hentikan pembohongan fakta yang berterusannya terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pengerusi Majlis Penasihat PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali berkata, Lim Kit Siang terus menerus membohongi fakta dalam isu yang berkait dengan Presiden PAS semacam melobi jawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia.

Menurutnya, beliau ketika itu sebagai Setiausaha Agung PAS sentiasa hadir dalam mana-mana perbincangan dua hala di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

“Saya sentiasa hadir dalam setiap perbincangan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR), sewaktu PAS berada di dalamnya. Dalam perbincangan dua hala antara PAS dengan DAP, dan kadang-kala PAS dengan PKR.

“Saya selaku Setiausaha Agung PAS ketika itu sentiasa hadir. Tidak pernah ada mana-mana masa dalam perbincangan itu dikemukakan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi, dicadangkan oleh PAS untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Apatah lagi, Tok Guru tidak pernah menyebut dia berhasrat utuk menjadi Perdana Menteri, tidak ada sama sekali.

“Jadi di manakah sumber yang menyebabkan Kit Siang terus menerus dan bukan sekali ini sebenarnya. Terus menerus berbohong mengenai isu ini,” tegasnya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Namun, kata Mustafa, beliau tidak menafikan mengenai cadangan PAS menawarkan jawatan itu kepada Tengku Razaliegh Hamzah.

Menurutnya, idea cadangan Perdana Menteri kepada Tengku Razaliegh adalah sementara sebelum diserahkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas itu.

“Tentang cadangan PAS mengenai Tengku Razaliegh untuk menjadi Perdana Menteri itu memang benarlah. Saya sudah terangkan dulu sebelum daripada ini, saya terangkan memang pada masa itu kalau kesediaan kita untuk menerima dia (Razaliegh) dan jawatan itu untuk dia.

“Untuk pada permulaannya dan selepas itu Anwarlah. Bukan kita menolak Anwar sebagai Perdana Menteri, tapi didahului oleh Tengku Razaliegh,” jelasnya menangkis tuduhan pemimpin DAP itu.

Beliau turut mendakwa, Pakatan Harapan mungkin mengambil idea dan format daripada cadangan PAS itu dalam melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Barangkali Pakatan Harapan pun mungkin mengambil idea dan format daripada apa yang PAS cadangkan itu, untuk minta penyertaan Tun Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan. Sebab, Mahathir dahulu barulah Anwar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Lim Kit Siang sebagai ahli politik veteran usahlah terus menerus melakukan pembohongan yang bercanggah dengan fakta dan kenyataan.

Ketika ditanya, apakah dakwaan Kit Siang kerana parti itu terdesak menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, beliau berkata pemimpin DAP itu cuba discreditkan isu Tok Guru dengan pembohongan.

“Boleh jadi juga kerana isu (PRK) ini, Kit Siang cuba nak ‘discreditkan’ isu Tok Guru ini dengan buat kenyataan bohong seperti ini.

“Seruan Tok Guru supaya masyarakat pengundi-pengundi di kalangan orang Melayu menolak calon DAP,” jelas veteran PAS itu.

Menurutnya, Lim Kit Siang amat mengetahui fakta dan kenyataan sebenar kerana sama-sama terlibat dalam setiap kali perbincangan tersebut.

Harakahdaily difahamkan, dakwaan bohong terhadap Presiden PAS itu berkisar perbincangan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu, mengenai jawatan Perdana Menteri. - HARAKAHDAILY 23/1/2019