Adun Kupang tinjau isu projek Musang King

Berita
Typography

BALING: Berikutan masalah dialami penduduk kesan projek Musang King yang dijalankan, Adun Kupang, Brig Jen (B) Dato' Najmi Ahmad telah mengadakan tinjauan di Gunung Inas, di sini hari ini.

Berdasarkan aduan penduduk, kerja-kerja pembalakan dan peneresan bagi projek tersebut tidak dikawal selia pihak berkuasa hingga mengganggu kawasan tadahan air untuk kegunaan mereka.

Antara teruk terjejas dan membawa pengaduan tersebut kepada pihak Adun untuk tindakan adalah kalangan penduduk yang menggunakan air masyarakat di Kampung Bukit Hijau dan Kampung Carok Rotan Mas.

Hasil tinjauan Dato' Najmi mendapati pada ketika ini projek tersebut giat dijalankan melibatkan kawasan Kompartmen 8 dalam Dun Bayu dan Kompartmen 9 dalam Dun Kupang.

"Saya terpanggil untuk meninjau dengan lebih dekat lagi sejauh manakah projek ini berjalan? Apakah pihak pemaju mengikuti garis panduan atau sebaliknya?

"Jika pihak pemaju tidak mengikuti kaedah yang ditetapkan, akan berlaku kerosakan kepada ekosistem untuk satu jangkamasa yang panjang," ujarnya menyatakan kebimbangan.

Beliau berjanji akan memanjangkan isu tersebut dalam Sidang Dun Kedah akan datang bagi mendapat kesahihan sebenar daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah. - HARAKAHDAILY 23/1/2019   

IMG 20190123 WA0016

IMG 20190123 WA0015

IMG 20190123 WA0018