17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

PAS: Islam tapak sejarah mata rantai perjuangan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS ditubuhkan oleh para ulamak menjadi kumpulan dengan membawa agenda dakwah dan politik sebagai menyambung mata rantai perjuangan Islam yang telah dilangsungkan oleh para Nabi dan Rasul.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahkan PAS tidak berjuang hanya untuk orang Islam sahaja, sebaliknya juga untuk masyarakat majmuk apabila ia didaftarkan menjadi parti politik untuk menyertai pilihan raya.

Ceritanya, pendaftaran tersebut dilakukan oleh Yang DiPertua PAS, Almarhum Dr Abbas Alias di mana ia diluluskan oleh Timbalan Pendaftar Pertubuhan seorang India beragama Hindu yang pernah ditolongnya dari hukuman mati di zaman Jepun.

Sejarah itu dikisahkan kembali beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Seminar Sejarah PAS yang dilangsungkan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak, hari ini.

Kupas Tuan Guru, penubuhan PAS yang tercetus hasil muzakarah para ulamak itu adalah sebagai menunaikan tuntutan kewajipan sebagaimana terdapat pada ayat 104 surah Ali-Imran dengan mengambil Islam secara menyeluruh.

Beliau menghurai bahawa tuntutan itu berkait dengan peranan khalifah sepertimana tugas kerasulan yang mendakwahkan manusia kepada siyasah pemerintahan atau perjuangan menghadapi pemerintahan.

Menjadi parti politik

"Tak jadi salah kalangan yang nak berdakwah sahaja, itu kemampuannya. Tak jadi salah kalangan yang nak bergiat dalam ekonomi sahaja, itu kebolehannya sahaja. Tetapi salah dan sesat kalau mengatakan politik tak ada dalam Islam.

"Ulamak-ulamak yang menubuhkan PAS membawa agenda dakwah dan politik, dua-dua sekali. Kerana Islam yang datang ke Nusantara ini bukan sahaja Islam yang meng-Islamkam manusia, termasuk meng-Islamkan kerajaan memerintah.

"Penjajah yang datang mengacau, menghancurkan pemerintahan Islam. Walaupun pemerintahannya dijatuhkan, cahaya Islam tak padam. Akan ada jamaah yang melangsungkan perjuangan Islam," kemukanya.

Menurut beliau, PAS menjadi mata rantai perjuangan menentang penjajah yang telah dimulakan oleh umat Islam Nusantara di mana bangkit berjihad apabila Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511.

Katanya, mereka menubuhkan Syarikat Islam sebagai menentang penjajah yang menubuhkan Syarikat Hindia British dan Belanda ketika itu, namun kemudiannya diharamkan dan berdepan pelbagai cabaran menakutkan.

"Takut cerita lain. Kalau kamu takut nak berpolitik, jangan kata dalam Islam tak ada politik. Ini satu kesesatan yang dibawa penjajah. PAS terpaksa menanggung kesusahan menghadapi kesesatan ini.

"PAS memilih demokrasi, mengapa? Asal demokrasi daripada Barat, tak dinafikan. Tetapi mengislahkan demokrasi oleh Barat dipengaruhi oleh Fekah Politik Islam. Islam mengajar memilih pemimpin selepas kewafatan Nabi S.A.W

"Orang Eropah tak tahu pilihan raya. Bila tak puas hati dengan kerajaan, berlaku Revolusi England, Perancis, revolusi di negara-negara Barat, berperang ubah kerajaan," bentang beliau.

Sebaliknya Islam perinci beliau, memilih secara syura melibatkan pemimpin rakyat dalam kalangan Mujahirin dan Ansar, Ahlul Halli wal 'Aqdi yakni mereka yang punya ilmu dan pengaruh dalam masyarakat.

Perkara tersebut terangnya, ditulis para ulamak dalam banyak kitab fekah secara berselerak dan khusus termasuk ada yang menulis dalam kitab akidah kerana terdapat orang Islam menyeleweng akidahnya kerana menolak politik.

"Kerana ada orang Islam yang sudah melampau. Tak dinafikan, membersihkan diri daripada najis sebahagian daripada Islam. Walaupun (politik) tak ada dalam rukun Islam, dalam dua kalimah syahadah, menjadi sebahagian ajaran yang wajib dihayati dan diimani.

"Perkara syariat tak berpisah dengan akidah. Para ulamak memilih demokrasi setelah diharamkan Syarikat Islam, diharamkan Hizbul Muslimin, ditubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya sebagai satu NGO.

"Apabila British mengura-urakan untuk mengadakan pilihan raya tahun 1955, pemimpin PAS membuat keputusan mendaftarkan PAS menjadi satu parti politik untuk bertanding pilihan raya," ceritanya.

Perkembangan semasa

Menurut beliau, sejarah panjang perjuangan PAS turut mengalami pasang surut, menang kalah namun tetap memilih demokrasi pilihan raya sebagai pendekatan damai paling baik, bukan keras dan perang.

Sedangkan menurutnya, pendekatan keras dan perang dalam satu bangsa dan umat hanya mengundang campur tangan asing yang menghancurkan negara, namun PAS bukan penakut kerana orang PAS biasa menghadapi ISA.

"Yang penting ialah punya ketahanan beristiqamah melangsungkan perjuangan, menghadapi fitnah dan mehnah. Kita mencapai ke tahap yang ada hari ini, jumlah ahli yang mencecah satu juta. Kawasan 190 lebih seluruh negara.

"Parti lain tak ada kawasan sebanyak itu. Kita ada jentera, ada akar umbi. Kita tegak dengan Islam yang kita perjuangkan. Kita boleh bertahaluf, bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan dalam politik negara.

"Tapi jangan kacau ganggu Islam yang kita perjuangkan ini. Bila Islam disentuh, kerjasama tak ada dengan sesiapa sahaja. Sama ada pendekatan 'tahaluf' atau 'ta'awun', Islam adalah tonggaknya," tegas Tuan Guru.

Beliau berharap para peserta juga merenungi kegagalan idealogi-idealogi dan perundangan ciptaan manusia yang menunjukkan kegagalan hari ini sebagai 'tanda baik' dalam menambahkan keyakinan kepada Islam yang diperjuangkan.

Malah katanya, ia bukan sahaja menjadi wawasan Akhirat dan janji Allah yang diyakini, tetapi juga wawasan dunia dari janji Allah untuk turut sama diyakini. - HARAKAHDAILY 19/1/2019