Pemuda PAS Sabah akan tubuh DHPP Muda

Berita
Typography

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) akan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Muda Sabah dengan kerjasama DHPP Sabah.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin penubuhan tersebut turut mendapat persetujuan daripada Ketua DHPP Sabah, Satail Majungkat.

Katanya, DHPP Muda akan disertai anak muda dari kalangan masyarakat bukan Islam yang mahu bersama perjuangan PAS bagi memperkukuh parti tersebut di seluruh negeri ini.

Maklumnya juga, penyertaan dan sokongan golongan muda dalam kalangan rakan-rakan bukan Islam kepada PAS di negeri ini bukan perkara baharu.

"Ia memberi isyarat bahawa Pemuda PAS sangat terbuka dan konsisten mengangkat budaya toleransi yang diamalkan oleh masyarakat di Sabah.

"Walaupun kita sebagai parti bukan kerajaan di Sabah, namun kita mempunyai hala tuju jelas dan mengamalkan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

"Kita mengalu-alukan kepada semua pihak untuk bersama memperjuangkan kepentingan masyarakat Bumiputera di negeri ini," ujar Zulzaim.

Tambah beliau, DHPP Muda akan berpartisipasi untuk bersama-sama menjadi ejen semak dan imbang terhadap prinsip 'good governance' oleh Kerajaan Sabah.

Selain itu menurutnya, juga bagi memastikan hak asasi anak negeri, perpaduan nasional yang menjurus kepada soal integriti dan banyak perkara lain turut sama diperjuangkan.

Justeru itu jelasnya, Pemuda PAS Sabah akan memastikan DHPP Muda di seluruh negeri ini akan bergerak aktif menjelang hujung tahun 2019 bagi persiapan khusus menghadapi PRU15 nanti. - HARAKAHDAILY 15/1/2019