17
Tue, Sep
40 Artikel Baru

NGO Malaysia terus bantu mangsa tsunami Banten

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) bersama MAPIM Wilayah Utara dan kumpulan Facebook Titian Kasih telah mengadakan misi bantuan kepada mangsa tsunami di Banten, Indonesia

Menurut Ketua Delegasi, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, pasukannya itu telah ke lokasi paling teruk terjejas dengan bencana tersebut iaitu Kampung Paniis di Kecamatan Sumur, Kabupaten Pandeglang.

Maklumnya, untuk sampai ke daerah sangat jauh itu, perjalanannya mengambil masa hampir 10 jam dari Kota Jakarta, selain sangat sukar untuk sampai kerana perlu melalui jalan berbatu di celahan sawah dan gunung-ganang.

Ketika ini katanya, para penduduk masih mengalami trauma mengenang peristiwa hitam itu berikutan perkampungan tersebut terletak berhadapan pantai Selat Sunda yang diterjah tsunami pada 22 Disember lalu.

Terjahan ombak besar yang mengorbankan lebih 400 mangsa itu ekoran letusan Gunung Berapi Anak Krakatau di tengah laut Selat Sunda selain memusnahkan lebih 500 kediaman, sementara lebih 150 mangsa belum ditemui.

Ketika ini pihak delegasi menyumbangkan keperluan pembinaan khemah sementara dikenali sebagai Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan (RUSUK) sebagai perlindungan di atas bukit dari kemungkinan tsunami susulan melanda.

Selain itu, pihaknya turut giat untuk menyiapkan projek paip air bagi kegunaan penduduk yang disalurkan dari sumber air terdekat, selain musolla sementara bagi kegiatan ibadah dan aktiviti lain. - HARAKAHDAILY 9/1/2019 

 IMG 20190109 WA0007IMG 20190109 WA0008

IMG 20190109 WA0010