Harga minyak: PH ulangi amalan BN

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengulangi apa yang telah diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila mengumumkan penetapan harga minyak secara mingguan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat tidak ada sebarang masalah jika kerajaan berhasrat menetapkan harga runcit petroleum secara mingguan sekiranya harga lebih rendah.

Bagaimanapun katanya rakyat akan marah sekiranya harga yang ditetapkan lebih tinggi.

“Kerajaan BN sebelum ini dimarahi rakyat kerana harga minyak mingguan yang diperkenalkan semakin tinggi.

“Hendak tentukan harga secara mingguan tidak ada masalah, tetapi harga jangan mahal,” ujarnya di sini.

Pada 23 Disember lepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata

mulai 1 Jan 2019 harga bahan api termasuk RON95 akan diapungkan secara mingguan.

Bagaimanapun Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menentang keputusan kerajaan mengapung dan menetapkan harga petroleum secara mingguan.

Ekoran itu sekali lagi Lim pada 31 Disember mengumumkan harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan sehinggga akhir minggu pertama tahun 2019.

Dan hari ini PDAM dilapor bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan berkaitan isu harga minyak. - HARAKAHDAILY 2/1/2019