20
Tue, Aug
21 Artikel Baru

Bantuan tengkujuh peruntukan Bajet 2018

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kewangan berkenaan bantuan musim tengkujuh seolah-olah satu kejayaan besar hasil pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, bantuan kepada 274,639 pekebun kecil yang sah berdaftar hakikat sebenar merupakan peruntukan yang telah diperuntukkan dalam Bajet 2018 yang diluluskan oleh kerajaan lama.

Ironinya, kata beliau peruntukan tersebut telah mengalami pengurangan daripada peruntukan asal iaitu daripada RM261 juta kepada RM164.7 juta dengan pengurangan sebanyak RM51.2 juta.

“Rakyat masih tertanya-tanya kenapa wang yang telah diperuntukkan itu mengalami pengurangan sebegitu besar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya kerajaan PH juga telah menghapuskan bantuan musim tengkujuh tersebut dalam anggaran Bajet 2019 yang telah dibentangkan baru-baru ini.

“Saya yakin, bantuan musim tengkujuh tersebut memberi kesan yang besar kepada pekebun kecil dan penoreh getah,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, kata beliau pada 11 Disember lalu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah mendesak kerajaan PH agar mengagihkan peruntukan tersebut yang seharusnya diagihkan semenjak November lalu tidak dilaksanakan.

Menurutnya, setelah mendapat desakan daripada beberapa ahli parlimen terutama ahli pembangkang, kerajaan bersetuju untuk mengagihkan peruntukan tersebut.

Justeru, katanya kerajaan dilihat tidak mementingkan kebajikan rakyat dan hanya mengaburi mata rakyat dengan pemberian yang telah diperuntukkan oleh kerajaan lama.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya membawa perubahan baharu yang lebih memahami kehendak rakyat bukan dengan hanya ‘proclaim’ dengan apa yang telah ditinggalkan oleh kerajaan dahulu. - HARAKAHDAILY 29/12/2018