17
Tue, Sep
42 Artikel Baru

PH tanpa hala tuju jelas, sebabkan Islam terancam

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pemerintahan PH tidak mempunyai hala tuju dalam banyak aspek baik pendidikan, ekonomi, perundangan dan paling besar agama, demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program penerangan santai Chit Chat Ubi Kayu Cicoh Nyor di hadapan Pasar Batu Enam, Kuala Nerus, malam kelmarin.

Menurutnya, semasa di bawah pemerintahan Umno-BN walaupun terdapat kekurangan-kekurangan dalam pelaksanaan, tetapi agama masih terjaga dan PAS melengkapkan kekurangan yang ada.

Selain itu, PAS juga ujarnya, memberi tekanan, nasihat dan teguran supaya perubahan berlaku hingga dapat mengadakan usaha untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah melalui RUU355.

"Tapi Kerajaan PH hari ini kita lihat hala tuju babas terus. Konon nak bawa agenda 'Rahmatan Lil 'Alamin'. Tapi yang berlaku ialah rahmat kepada semua, tapi kepada Islam dan orang Islam disisihkan," bidasnya.

Beliau mengemukakan antaranya isu cadangan ratifikasi ICERD yang walaupun dikatakan sudah selesai, tetapi perlu dilihat asal usul, rentetan dan tindakan bakal berlaku seterusnya.

Katanya, perjuangan itu yang tercatat dalam Manifesto PH untuk menuntut kesamarataan semua bangsa telah menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat.

Lebih ketara ujarnya, para pemimpin PH tidak bersatu sesama mereka dengan masing-masing menunjukkan sikap tidak jelas, sekali gus memungkinkan ICERD dibangkitkan kembali.

"Kita umat Islam perlu sedar bahayanya ICERD ini digunakan atas nama untuk memberi hak sama rata kepada semua kaum. Tapi kena ingat, rentetan dari itu, Islam akan dibuang daripada Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan," katanya.

Menurutnya, syiar dan dakwah Islam selepas ini akan dipertikai dan dituntut persamaan oleh agama lain untuk menyebarkan agama mereka sebagaimana tindakan sebaran Bible yang bebas berlaku.

Hal tersebut tegas Adun Batu Buruk itu, adalah tindakan-tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan tidak patut dilaksanakan sama sekali.

Katanya, usaha menyelamatkan agama Islam bukan sahaja terpikul kepada PAS di mana seru beliau seluruh umat Islam mesti bersatu dan bersama menghadapi ancaman yang berlaku. - HARAKAHDAILY 27/12/2018