Dimaki: Presiden PAS tenang ikut sunnatullah

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan makian diterima Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu dialog di London adalah sunnatullah dalam berdakwah.

Beliau yang juga merupakan anak tokoh ulamak itu berkata, hal tersebut menjadi sebahagian jalan ketentuan mesti dilalui sebagai ikutan oleh setiap pendakwah di atas nama perjuangan Islam.

“Bagi pejuang Islam, itu adalah sunnatullah dan asam garam dalam perjuangan kerana Nabi-nabi zaman dahulu, lagi teruk kena maki,” tulis beliau dalam mesej ringkas sebagai balasan kepada soalan HarakahDaily berkenaan makian kepada ayahnya itu.

Semalam, tular di alam maya berkenaan sedutan video tersebut di mana beliau secara terang dimaki oleh antara hadirin yang ikut serta pada sesi di sebuau hotel itu.

Bagaimanapun sangat menakjubkan, kerana walau dihina dengan perkataan-perkataan kesat, Ahli Parlimen Marang itu tetap tenang menghadapi cubaan yang disifatkan ramai sebagai provokasi sangat jahat tersebut.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman pula ketika dihubungi menjelaskan bahawa sikap sabar Presiden PAS itu sangat mengagumkan beliau kerana cacian yang dikeluarkan itu sangat berat.

“Dato’ Seri masih boleh ketawa selepas peserta menghina beliau, bagaikan tiada apa-apa yang besar dan masih mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan.

"Peserta itu kelihatan seperti mahu menimbulkan suasana yang tidak baik dalam majlis tersebut, tetapi tidak dilayan dengan emosi oleh Presiden PAS.

"Orang ramai boleh melihat ketinggian budi pekerti Presiden PAS yang tidak langsung berjaya ditarik dalam permainan provokasi itu,” jelas beliau.

Ramai netizen yang memberikan komen dalam video itu meluahkan kemarahan mereka terhadap peserta India tersebut yang didakwa berasal dari Perak.

Bagi mereka, kebiadapan yang sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana dia gagal menghormati majlis, walaupun sudah diberi peringatan oleh Pengerusi Majlis.

Peserta itu dilihat sebagai gagal menerima fakta-fakta di dalam jawapan Presiden PAS di mana kemudiannya terus mengeluarkan kata-kata kesat bukan sahaja terhadap Presiden PAS, tetapi juga orang lain yang menegurnya.

Beliau yang dikatakan sebagai ahli DAP turut dilaporkan pernah bertindak kurang sopan terhadap Dato’ Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri ketika majlis di London dahulu, dakwa blogger, Raja Petra Kamaruddin.

Majlis berjaya dikawal semula setelah peserta tersebut keluar dari dewan setelah kejadian itu. - HARAKAHDAILY 26/12/2018