22
Sun, Sep
28 Artikel Baru

ICERD: Penganjur himpunan beri keterangan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa penganjur Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD telah hadir bagi memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini petang tadi.

Keterangan mereka diwakili oleh Aminuddin Yahya dan Mahmud Hishamuddin Abd Rashid dengan masing-masing diiringi peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan dan Mohamad Nadzim Ibrahim.

Menurut Aminuddin, pihaknya dipanggil polis untuk diambil keterangan tersebut sebagai prosedur biasa berikutan terdapat laporan berkaitan pelanggaran peraturan pada hari himpunan tersebut.

Sebagaimana kenyataan dikeluarkan pihak Polis Kuala Lumpur, penganjur dikatakan telah menyalahi Akta Himpunan Aman berikutan terdapat kanak-kanak dalam acara berkenaan.

"Kita telah pun mengeluarkan satu tatacara (SOP) kita, berkenaan dengan hal ini dan kita telah nyatakan dalam SOP kita bahawa kita tidak galakkan atau benarkan mana-mana orang yang nak hadir ini bawa anak-anak bawah umur seperti yang ada dalam akta.

"Bukan itu sahaja kita juga telah menghalang mana-mana pihak yang membuat kekacauan dan alhamdulillah tidak ada kekacauan, jadi itu sendiri telah membuktikan bahawa kita telah ambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada media selepas dirakamkan keterangan selama sejam.

Menurutnya, mereka yang menyertai himpunan dengan membawa kanak-kanak bersama berkemungkinan secara kebetulan ingin membeli-belah dan langsung ikut serta himpunan tersebut.

"Bagi saya mereka ini kemungkinan mereka pada hari tersebut nak membeli belah di SOGO dan sebagainya cuma kebetulan bila mereka sampai di sini, mereka nampak himpunan begitu ramai, jadi mereka ikut arus sahaja jadi bagi saya tidak wajar kerana itu adalah di luar kemampuan kita untuk menghalang," katanya.

Turut mengiringi beliau ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat dan Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) Mohd Zai Mustafa.

Juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Wan Rohimi Wan Daud.

Dalam pada itu, Aminuddin turut merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program himpunan mega di Dataran Merdeka, Sabtu lalu itu.

Katanya, ia kejayaan bersama semua pihak melibatkan penyertaan juga ratusan NGO lain, parti-parti politik, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

"Pertemuan atau himpunan ini telah menyaksikan kehadiran lebih setengah juta rakyat Malaysia yang mengatakan rasa tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan untuk meratifikasikan ICERD.

"Kita juga mengambil kesempatan ini merakamkan takziah kepada beberapa orang peserta yang datang yang terlibat dalam kemalangan sama ada yang semasa datang dan semasa nak balik.

"Perjumpaan kali ini telah mencapai objektif kita untuk menyuarakan kepada kerajaan dengan kehadiran yang begitu ramai dan yang paling penting sekali, pertemuan ini merupakan satu sejarah dalam negara yang menyaksikan himpunan teramai yang pernah disaksikan negara semenjak kita merdeka," tambahnya. - HARAKAHDAILY 10/12/2018