ICERD: Amaran siswa lawan Malayan Union 2.0

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Para ibu bapa diminta mewakafkan anak-anak mereka untuk menjadi benteng kepada Persekutuan Negara ini, demikian seruan semangat Presiden GAMIS, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai.

Gema suara anak muda itu antara menggegar pentas pidato di hadapan ratusan ribu peserta yang memenuhi Ibu Negara pada Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, di sini petang semalam.

Beliau menyifatkan usaha meratifikasi ICERD menyamai sejarah Malayan Union yang telah menyaksikan solidariti tenaga dan hati datuk nenek moyang terdahulu menolaknya dari dilaksanakan.

Oleh itu katanya, anak-anak tersebut perlu bersama mahasiswa lain untuk memastikan Malayan Union 2.0 tidak berlaku dan memberi amaran kepada usaha Kerajaan PH dan pihak asing terhadapnya.

Menurut Faiz, himpunan tersebut mengulangi sejarah hingga para alim ulamak juga meninggalkan madrasah mereka menunjukkan kepentingannya serta signal bahawa Islam berada dalam bahaya.

"Dan kami keluar dari pintu pagar kampus, berhimpun di sini bersama rakyat jelata, ingin mengangkat perjuangan yang sama, menolak ICERD yang akan menjatuhkan Islam dalam negara kita.

"Dulu sejarah telah buktikan rakyat berhimpun menolak Malayan Union 1.0. Hari ini kita mengulangi sejarah, berhimpun di Kuala Lumpur memberi amaran kepada kerajaan dan kuasa besar asing, bahawasanya jangan sesekali kamu laksanakan ICERD ini.

"Kita bukan sekadar bangsa Melayu, dahulunya kita adalah tamadun dunia yang dihormati. Hari ini kita juga adalah tamadun yang sedang berehat seketika.

"Pulang ke rumah, gunakan media sosial kita ada, tekan kerajaan, beri amaran pada mereka, jangan sesekali laksana ICERD atau kamu akan keluar dari Putrajaya," laungnya melontar amaran tersebut. - HARAKAHDAILY 9/12/2018