ICERD: Perkara 153 telah banyak dikompromi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Gesaan supaya meratifikasi ICERD sebenarnya datang daripada pihak-pihak yang mempunyai fahaman mesra Liberal, demikian dedah Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin.

Malah katanya, desakan juga datang dari suara dan lobi serta campur tangan luar yang berhasrat menggugat kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan membalikkan dakwaan kepada penentangnya dengan label survival politik murahan.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan pada Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka, di sini petang semalam.

Sedangkan menurutnya, telah begitu banyak toleransi diberi melibatkan Perkara 153 yang menyentuh hal Islam, survival Melayu dan Bumiputera serta lainnya, namun dituduh pula dengan kecaman rasis.

Walhal ujar beliau, Bahasa Melayu sebagai contoh, sudah dikompromi dengan Bahasa Inggeris melalui pendidikan dan kouta biasiswa yang dahulunya banyak, kini hanya tinggal sedikit, selain pelaksanaan meritokrasi.

"Ini bukti, bahawasanya kita Bumiputera sanggup bertoleransi demi kedaulatan negara Malaysia. Satu persoalan saya ingin timbulkan, adakah kewujudan keistimewaan (Perkara) 153 dan lain-lain dalam Perlembagaan ini menjadi punca diskriminasi (kepada) minoriti?" lontarnya.

Beliau mengemukakan kehidupan masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam yang harmoni di Kelantan di mana bukan sahaja makan bersama, tetapi wujud patung Buddha besar pelbagai kedudukan.

Oleh itu beliau mengajak seluruh rakyat dan NGO untuk terus komited menghadapi asakan tersebut termasuk dari luar dengan kembali menghidupkan amalan Islam bermula dari keluarga masing-masing.

Ucapan beliau itu diakhiri dengan pantun untuk menyejukkan suasana.   

Dari Sabah hingga ke Perlis,
Menjunjung agama duhai pahlawan,
Walau pada mulanya tidak populis,
Demi rakyat kita berkorban.

Ramai orang mengaku pahlawan,
Sambutlah dengan hunusan tikaman,
Jika kerana ICERD bangsa tertawan,
Inilah kami siap sebagai benteng pertama. HARAKAHDAILY 9/12/2018