Islam libatkan wanita dalam politik negara

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Islam lebih awal mendahului Barat dalam melibatkan kaum wanita dengan politik pemerintahan negara, demikian menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Terangnya, ketika Nabi S.A.W mengadakan Bai'atul Aqabah yakni perjanjian dengan orang-orang Madinah untuk menegakkan negara melibatkan 70 pemimpin Aus dan Khazraj, terdapat dua wanita terlibat sama.

"(Sekitar) 1,000 tahun juga (Islam) mendahului Barat," ujarnya ketika menjawab soalan peserta program Memperingati Itqan al-Muluk Bita'dil as-Suluk di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, kefahaman masyarakat Islam masih terkesan oleh penjajah dan tidak mengkaji Islam dengan mendalam sehingga hal pelantikan wakil rakyat wanita menjadi perdebatan begitu lama.

PAS katanya, oleh kerana menyedari pilihan raya begitu banyak cabaran kepada wanita dan mereka tidak sekuat lelaki untuk menghadapinya, maka telah mengambil keputusan menggalakkan wanita menjadi wakil rakyat yang dilantik termasuk Senator.

"Kita (pemerintahan di Terengganu) buat keputusan tahun 1999 dulu, sekiranya tidak ada kalangan wanita dipilih calon, maka Dewan Negeri boleh melantik wanita menjadi wakil rakyat yang dilantik.

"Ini untuk menonjolkan wanita dalam politik Islam. Kita kena sedar dalam sejarah Islam, bagaimana wanita ini juga terlibat dalam menegur pemimpin, menegur pemerintah," ujarnya merujuk kisah masyhur Khalifah Umar al-Khattab ditegur atas keputusan disampai dalam khutbahnya.

Jelas Tuan Guru, teguran wanita itu diakui Umar di mana peristiwa tersebut menunjukkan Islam melibatkan wanita dalam politik dan perkara itu menjadi asas PAS melaksanakan lantikan wanita dalam Dewan Negeri Terengganu. - HARAKAHDAILY 6/12/2018