Ada cadangan naik taraf stadium?

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan berkenaan dengan isu Stadium Sultan Muhammad IV yang dibina pada tahun 1965.

“Padang di stadium tersebut mungkin adalah padang yang tertua di Malaysia dan juga tertua di benua Asia. Adakah pihak kementerian mempunyai rancangan untuk menaik taraf stadium di Kota Bharu.

“Menteri Belia dan Sukan juga pernah menyatakan hasrat untuk melakukan sesuatu kepada stadium tersebut dan mungkin memberi peruntukan untuk membina stadium yang baru bagi negeri Kelantan,” tambahnya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, dalam butiran 030200 (Emolumen Kakitangan Kontrak), KBS telah menambah peruntukan daripada RM1 juta kepada RM18 juta bagi tahun 2019. Dalam butiran 030600 (Emolumen Kakitangan Kontrak) daripada RM84 juta kepada kosong pada tahun 2019.

“Saya ingin meminta penjelasan terperinci di sebalik perubahan mendadak bagi angka-angka ini. Walaupun kita tahu bahawa kakitangan kontrak yang tidak disambung itu daripada butiran PLKN.

“Saya ingin tahu setakat manakah siasatan yang dijalankan ke atas KBS mengenai skandal rasuah sebelum PRU14 yang melibatkan seorang pegawai kanan KBS. Kita dimaklumkan bahawa gred M54 dan jumlah yang terlibat sebanyak RM100 juta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2018