Apa polisi hadapi ibu bapa anti-vaksin?

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pengaruh anti-vaksin dalam kalangan ibu bapa kini semakin meluas dan sangat membimbangkan, kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau mempersoalkan polisi terbaharu kerajaan bagi berhadapan dengan ibu bapa yang tidak mahu bayi mereka divaksinkan.

Menurutnya, perkara itu sangat membimbangkan sekiranya tiada pengawalan yang berkesan dilakukan terhadap golongan anti-vaksin.

Beliau bimbang seandainya tiada pengawalan berkesan, golongan anti-vaksin yang semakin bertambah ini akan menyebabkan penularan semula wabak penyakit yang sudah lama tidak muncul selepas vaksin diperkenalkan seperti difteria, tibi dan batuk kokol.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Pembekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di dalam Dewan Rakyat, semalam.

Marzuk berkata, beliau dimaklumkan bahawa ibu bapa yang anti-vaksin ini akan melalui proses kaunseling daripada pakar perubatan keluarga.

"Persoalannya sejauh mana keberkesanan sesi kaunseling ini dalam mempengaruhi ibu bapa untuk kembali memberi vaksin kepada anak-anak?

"Apakah kementerian berhasrat untuk melaksanakan polisi wajib vaksin?" soalnya.

Dalam masa yang sama Marzuk juga turut mempersoalkan kelulusan Kementerian Kesihatan berhubung iklan produk makanan kesihatan dan kosmetik di televisyen dan sebagainya.

Ujarnya, ramai pengguna yang terpedaya dengan iklan produk tersebut tanpa disedari produk yang digunakan mengandungi racun dan bahan terlarang.

"Sepatutnya pihak Kementerian Kesihatan perlu bertindak lebih proaktif melalui penguatkuasaan dan pengeluaran lesen.

"Mengapa produk beracun sudah terjual di pasaran kemudiannya barulah ada kenyataan daripada pengarah kesihatan atau pihak kementerian sendiri?" soalnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2018