ICERD: Protes aman damai diizinkan demokrasi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Demokrasi bukan sahaja Parlimen dan pilihan raya, tetapi termasuk di dalamnya adalah mengizinkan rakyat melakukan demonstrasi secara aman, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tegasnya, PAS tetap memilih demokrasi di mana Himpunan Rakyat Bantah ICERD bukan bertujuan hendak membuat huru-hara, sebaliknya bagi menunjukkan satu protes sikap secara aman dan damai.

Jelasnya, kerana itu juga beliau mengambil tindakan nekad menyampaikan satu ucapan yang keras di Dewan Rakyat mengingatkan PH jangan salah guna Parlimen untuk meluluskan ICERD.

“Jika kamu salah gunakan Parlimen ini, PAS mampu mengerahkan berjuta rakyat di jalan raya,” ujar beliau mengulangi semula kenyataannya itu semasa merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Cukai, Kemaman, kelmarin.

Menurutnya, beliau bimbang Parlimen akan meluluskan memandangkan pendirian Perdana Menteri tidak disokong oleh Jemaah Menteri yang saling menzahirkan kenyataan bercelaru.

“Perdana Menteri kata mustahil, orang lain kata tak apa, harus. Mustahil ini kalau orang mengaji hukum akal, dalam ilmu tauhid, benda yang tak mungkin berlaku, itu mustahil. (Maknanya) Tidaklah. Tetapi yang lain buat kenyataan, tangguh dulu.

“Keadaan yang sangat mencemaskan. Perdana Menteri buat kenyataan, ini mustahil, ICERD ini mustahil. Menteri-menteri pula daripada PAN, PKR, buat kenyataan, kaji dulu, belum tiba masanya, bercanggah dengan Perdana Menteri. 

“Anwar Ibrahim kata kaji dulu, tangguh dulu. Orang lain kata tangguh dulu, kaji dulu. Kalau diundi, akan berlakulah satu perubahan yang sangat membahayakan,” ujar Ahli Parlimen Marang itu menyatakan kebimbangannya. 

Menurutnya, ICERD dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikuasai Freemason Zionis dan cuba dibawa masuk ke negara ini untuk Malaysia mengiktirafnya. 

Jelas beliau, di antara perjuangan Freemason ialah menyamakan semua agama dan menjurus ke arah menyamakan hak istimewa Bumiputera yang merupakan penduduk asal di negara ini.

“Mereka datang ke sini, kita terima orang bukan Islam yang datang, yang beranak, dilahirkan dia (di sini) kita terima mereka jadi tetamu kita, jadi rakyat kita. Ini satu penghargaan, beri hak kepada mereka menjadi rakyat. Mereka mesti dilayan dengan adil.

“Tak dinafikan, kerana Islam adalah agama mengajak masyarakat majmuk dekat dengan Islam. Kita kena berhubung macam-macam bangsa, perkenalkan Islam kepada dia dengan hidup bermasyarakat. Kita menyaksikan bagaimana semangat keagamaan yang ada pada orang Islam.

“Sejahil-jahil orang Islam, satu keluarga Cina, keluarga India Hindu yang bukan Islam, boleh berkedai di kampung Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah. Orang Islam tak kacau dia. Ini adab orang Islam, sifat orang Islam. 

“Tiba-tiba, dalam perkara yang berkait dengan hak Bumiputera nak dihapuskan. ICERD ini menuju ke arah itu,” ujarnya mengingatkan semua pihak supaya sedar bahawa kaum Bumiputera dan pemimpin mereka juga telah berjuang memerdekakan tanah air ini. 

Menurutnya, ICERD telah dibawa oleh pemimpin dalam Kerajaan PH yang didominasi bukan Islam, sedangkan lebih 60 peratus penduduk negara ini terdiri daripada orang Islam.

Hal tersebut kesalinya, kerana kesilapan orang Islam sendiri tidak mengetahui kepentingan politik sebagai sebahagian ajaran Islam dan mengundi kerajaan mengikut sesuka pilihan.

“Dalam PH itu tinggal parti Bersatu dan sedikit daripada kalangan PAN. Ketahuilah PKR bukan parti orang Melayu, bukan parti orang Islam. PAN ini bukan parti orang Melayu, bukan parti orang Islam, PAN ini parti anak butir DAP, Dewan Himpunan Penyokong DAP. 

“Di sana masih ada parti Melayu parti orang Islam. Umno, PBB, Bersatu, berbeza idealogi dengan kita, berbeza fahaman dengan kita. Tetapi dengan sebab tidak mempunyai kehebatan perpaduan, kita menjadi lemah,” ujarnya mengajak muhasabah. - HARAKAHDAILY 3/12/2018