Tidak perlu mohon maaf terbuka - MB

Berita
Typography

BACHOK: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Kelantan tidak perlu menuntut kerajaan negeri membuat permohonan maaf secara terbuka kerana surat larangan memasuki Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) sudah ditarik balik.

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penarikan tersebut bagi membolehkan jabatan kerajaan negeri dapat melaksanakan tugas dalam bidang masing-masing.

"Dengan keluarnya surat itu maka sudah berlaku permohonan maaf secara tidak langsung. Maaf itu sifat yang baik, kita kerajaan negeri sentiasa memberi kemaafan.

"Langkah yang dilakukan ini bagi memastikan semua jabatan kerajaan dapat melaksanakan pentadbiran dengan baik dan tidak berlaku halangan antara kedua-dua kerajaan negeri dan pusat," katanya ketika ditemui pemberita pada Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2018 di Royal Kelantan Endurance Stable di Kampung Baruh Raja di sini petang semalam.

Semalam Pengerusi PH Kelantan, Dato’ Husam Musa mahu kerajaan negeri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang dilarang memasuki SUK sebelum ini.

Pada Mei lepas SUK Kelantan mengeluarkan surat larangan kepada Husam dan Pengerusi Parti Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki SUK. - HARAKAHDAILY 30/11/2018