Kerajaan digesa baik pulih ekonomi tenat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bertindak segera membaik pulih ekonomi negara yang dilihat semakin tenat selepas menyaksikan kejatuhan nilai saham sembilan syarikat di bawah Khazanah Nasional yang menjunam mengakibatkan 'capital market' RM64.5 bilion.

Menyatakan gesaan itu, Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan berkata keadaan ini diperhatikan sejak enam bulan lalu berakhir pada 30 November.

Ujarnya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera, keadaan sebelum ini amat berbeza jika dibandingkan pada November 2017 apabila nilai saham pelaburan Khazanah Negara berada di paras selamat dan tinggi.

Beliau mendedahkan Khazanah Negara dilaporkan bersetuju menjual 16 peratus pegangan saham IHH Healthcare Berhad kepada Mitsui & Co Ltd sebanyak RM8.42 bilion (US$2 bilion) secara tunai.

"Sebelum ini Khazanah yang merupakan pemegang saham terbesar dalam IHH Healthcare Berhad melalui Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd dengan nilai saham sebanyak 40.8 peratus.

"Pemegang saham kedua terbesar adalah Mitsui & Co Ltd dengan nilai pegangan saham sebanyak 18.3 peratus.

"Keadaan ini berubah selepas penjualan 16 peratus pegangan saham di mana Mitsui & Co Ltd menjadi pemegang terbesar sebanyak 34.3 peratus manakala Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd menyusut kepada 24.8 peratus," katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Pihaknya sebelum ini pernah menyatakan kebimbangan sama selepas menyaksikan kejatuhan nilai saham Telekom Malaysia dan menggesa kerajaan menyelamatkan syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan komitmen partinya untuk turun sama menyertai himpunan perdana menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini. – HARAKAHDAILY 30/11/2018