Polis tiada halangan himpunan 8 Dis - UMMAH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Tiada halangan oleh pihak polis kepada Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meneruskan himpunan perdana menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini.

Malah kerjasama sepenuhnya akan diberikan oleh pihak berkuasa untuk menjamin kawalan keselamatan para peserta pada hari himpunan itu.

Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahaya memaklumkan pihaknya telah mencapai kata sepakat itu selepas mengadakan perbincangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi beberapa hari lalu.

Ujarnya, UMMAH telah menghantar surat permohonan (permit) himpunan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dimaklumkan bahawa DBKL akan serahkan kepada kabinet untuk dibuat keputusan dan alhamdulillah Perdana Menteri (PM) telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak ada halangan untuk kita berkumpul selagi kita patuh kepada syarat-syarat himpunan aman.

"Begitu juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberikan pandangan beliau tidak ada masalah.

"Insya-Allah program himpunan ini kita akan teruskan, dan setakat hari ini kita masih lagi meletakkan tempat yang kita akan berkumpul ialah di Dataran Merdeka jadi kita minta semua nanti kalau ada apa-apa kenyataan tempat lain tak jadi dan sebagainya itu bukan dari pihak kita," katanya.

Beliau menegaskan makluman mengenai himpunan akan diberitahu dari semasa ke semasa oleh UMMAH dan Sekretariat Daulat bukan daripada pihak lain.

Aminuddin yang juga pengerusi himpunan mengalu-alukan kehadiran semua pihak menyertai himpunan yang menekankan isu perlembagaan, agama Islam dan hak bumiputera Sabah dan Sarawak serta Melayu.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan himpunan itu dengan insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman.

"Himpunan ini tidak ada kena mengena dengan isu kuil. PM telah buat kenyataan, Muhyiddin pun dah buat kenyataan dan IGP juga telah buat kenyataan isu kuil tidak ada kena mengena dengan perkauman tidak ada kena mengena dengan agama, isunya hanya berhubung antara pemaju dan pentadbir kepada kuil berkenaan.

"Jadi kita jangan jadikan isu itu untuk mengaitkan himpunan 8 haribulan, kita tidak ada kena mengenai, kita nafikan sekeras-kerasnya," katanya selepas sidang meja bulat ICERD bersama NGO dan beberapa anggota Bukit Aman di Hotel Putra di sini tengah hari tadi.

Katanya, selain membangkitkan beberapa tuntutan pada 8 Disember, perhimpunan itu juga sebagai tanda kesyukuran kepada kerajaan kerana menukar pendirian tidak menerima ICERD berbanding kesungguhan kerajaan pada awalnya.

Pengerusi UMMAH, Ismail Mina Ahmad turut mengingatkan semua tidak terpengaruh dengan penyebaran rakaman suara tular melalui aplikasi WhatsApp yang cuba membuat provokatif mendakwa para peserta perlu bersiap sedia dengan senjata tajam sebagai keselamatan.

Beliau menyifatkan tindakan seperti itu adalah serangan psikologi dan cubaan menghasut untuk menakut-nakutkan para peserta untuk hadir pada himpunan ICERD.

"Kita kenal kumpulan itu, kita pun ada pengalaman dalam demonstrasi dan sebagainya. Ini kena hentikan segera.

"Kita bagi jaminan seperti mana tadi dengan kerjasama pihak berkuasa dan kita juga mempunyai satu keyakinan bahawa ini (himpunan) bukan pertama kali, orang kita cukup disiplin.

"Kita ada rekod program (himpunan) kita di Kelab Sultan Sulaiman, program itu dipuji oleh pihak keselamatan, ini yang sebenarnya tidak mahu dilihat oleh mereka," katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2018