Mudahkan mekanisma tuntutan harga lantai getah

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan diminta supaya menyediakan mekanisme mudah kepada para penoreh getah atau pekebun-pekebun kecil untuk mendapatkan harga lantai RM2.50 sekilogram bagi penjualan getah mereka.

Awang Hashim (PAS – Pendang) berharap supaya tempat tuntutan berdekatan diwujudkan supaya golongan itu tidak perlu menempuh perjalanan jauh yang tentunya akan melibatkan kos pengangkutan dan petrol.

Beliau juga meminta keseimbangan peruntukan diberikan kepada peneroka atau pekebun kecil yang terlibat menoreh getah di bawah RISDA sebagaimana peruntukan kepada FELDA melibatkan tanaman semula dan kos bantuan lain.

Perkara itu diutarakannya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Jawatankuasa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

Dalam perbahasan tersebut, beliau turut mempersoalkan kemampuan peruntukan kepada RISDA yang dikurangkan untuk berfungsi dalam menjaga hal ehwal kebajikan para penoreh getah.

Turut ditegaskannya adalah mengenai projek khas supaya diperuntukkan kepada semua kawasan Parlimen termasuk Pembangkang tanpa ada diskriminasi sebagaimana pernah berlaku dahulu. - HARAKAHDAILY 27/11/2018