Waytha dituntut mohon maaf, tarik kenyataan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy Ponnusamy dituntut meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang memburukkan maruah Malaysia di mata dunia, demikian gesa Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS – Rantau Panjang).

Menurutnya, sejak video klip Menteri itu tersebar hingga ke hari ini, Waytha belum lagi mengemukakan permohonan maaf secara rasmi di Dewan Rakyat kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia.

“Saya inginkan Menteri berkenaan minta maaf dan tarik balik di atas kenyataan beliau memburukkan Malaysia dalam isu kemanusiaan dengan menuduh tuduhan yang bohong dan yang tidak betul. Ini menjatuhkan maruah Malaysia di mata dunia.

“Jadi setakat ini tidak ada lagi permohonan maaf secara rasmi di dalam Dewan ini kepada rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Jadi saya harap Menteri berkenaan hendaklah menarik balik dan memohon maaf tidak cukup dengan Perdana Menteri mengatakan dia sudah berubah,” tegas beliau.

Siti Zailah dalam perbahasannya itu turut menyatakan ketidakyakinannya terhadap isu ICERD berikutan tiada penjelasan dan penegasan yang benar-benar menjamin dan meyakinkan daripada pihak Kerajaan PH.

Kerana bidasnya, janji Manifesto PH pun boleh dijawab sebagai bukan kitab suci, apatah lagi janji untuk tidak menandatangani konvensyen tersebut mungkin boleh berubah selepas ini, sedangkan perkara itu akan beri kesan sangat besar.

Kebimbangan disuarakan beliau ketika perbahasan itu turut cuba 'diganggu' dengan celahan daripada Wong Shu Qi (PH – Kluang), Wong Kah Woh (PH - Ipoh Timur), Maria Chin Abdullah (PH - Petaling Jaya) dan Kasthuriraani Patto (PH - Batu Kawan). - HARAKAHDAILY 27/11/2018