21
Tue, May
32 Artikel Baru

Dominasi penting, bukan semangat perkauman

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Manusia tidak boleh dibentuk dan diselamatkan dengan semangat kebangsaan kerana ia cenderung menjadi zalim dan fanatik kepada kaum sendiri, serta tidak dapat menentukan salah dan benar.

Hanya Islam yang dapat menyelamatkan bangsa, serta menentukan adil, salah dan benar, sebagaimana bangsa Arab telah selamat dengan Islam, demikian tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perkara itu dinyatakannya sebagai menjawab soalan pada sesi dialog ketika menyampaikan Syarahan Perdana “Geopolitik Dunia dan Masa Depan Islam” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak malam tadi.

Beliau mengemukakan isu Palestin sebagai contoh di mana Arab berdiri atas semangat Nasionalisme melawan Israel, sedangkan Israel atas semangat agama Yahudi menyebabkan Arab kalah menghadapi kekuatan rohani dalam diri manusia.

Jelas Tuan Guru, kebangsaan merupakan satu perasaan semata-mata, namun beliau tidak menafikan kepentingan dominasi kaum untuk menegakkan Islam, sebagaimana ibrah pemilihan Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah.

“Ansar mencalonkan Sa’ad bin Ubadah. Ahlil Bait keluarga Nabi mencalonkan Ali R.A. Muhajirin mencalonkan Abu Bakar. Bila mereka mendengar, “Pemimpin daripada Quraisy”, Quraisy ialah yang mendominasi orang Islam di masa itu. Jadi kaum yang mendominasi ini sangat penting, kita tak boleh nafikan.

“Tetapi bukan kaum itu menjadi dasar. Kaum satu perasaan saja. Tetapi dasarnya ialah Islam. Islam yang membentuk jati diri manusia, bukan semangat bangsa dan perkaumannya,” terang beliau. - HARAKAHDAILY 27/11/2018