17
Wed, Jul
47 Artikel Baru

Umat mesti bersatu tangani ancaman terhadap Islam

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu bersatu menangani segala ancaman terhadap kepentingan agama Islam yang semakin lantang kedengaran disuarakan gugatan atasnya oleh segelintir pihak di dalam negara ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, demi kepentingan Islam, PAS menyeru seluruh umat untuk bersama, termasuk kepada Umno yang sekian lama menjadi musuh politik.

Peringatan itu dilontarkannya ketika menyampaikan pidato pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali yang dilangsungkan di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam kelmarin dahulu.

Menurutnya, walaupun PAS menerima akibat dalam isu Peristiwa Berdarah Memali angkara Umno ketika dipimpin bekas Presidennya yang kini menjadi Perdana Menteri, namun ulamak berpesan setiap tempat ada tajuknya

“Isu Memali itu kita boleh bahas. Kita nak satu siasatan baru supaya hak mereka yang dizalimi, dibela, dibersihkan nama mereka. Bertaubat kepada Allah S.W.T. Tapi dalam perkara yang berkait dengan hak Islam, hak umat Islam, kita umat Islam kena bersatu di atas nama Islam. 

“Sudah tiba masanya ahli-ahli Umno bersama-sama dengan kita. Alhamdulillah, sekarang ini mereka lantang memperjuangkan isu ICERD ini. Naik sepentas dengan kita, berhimpun bersama dengan kita. Kerana kita nak meyakinkan mereka ini sejak daripada dulu, dan kita tidak akan henti-henti.

“Orang Melayu ini tak boleh selamat dengan perkauman Melayu. Orang Melayu hanya boleh selamat dengan Islam. Ini yang kita tegaskan sejak daripada dulu sampai hari ini dan sampai bila-bila. Bila kita sebut berkait dengan perkauman Melayu, PAS ini bukan parti perkauman.

“PAS adalah parti Islam.  Kita mahu menyelamatkan Melayu dengan Islam. Kerana itulah sahaja cara dan jalannya. Tidak ada cara dan jalan lain. Maka di sinilah kita melihat sudah tiba masanya umat Islam, orang-orang Melayu khususnya dan Bumiputera secara umumnya untuk bangkit kembali kepada Islam,” serunya. 

Tegas beliau, PAS tidak pernah berganjak daripada prinsipnya memperjuangkan Islam dan sentiasa mengajak umat ini untuk kembali kepada manhaj ajaran Islam yang sebenar dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W dan diiltizamkan untuk diperjuangkan bersama-sama.

Kata Ustaz Khalil, PAS dan Umno sama-sama berperanan menyebarkan dan menegakkan ajaran Islam dengan hujah dan bukti, serta menarik seramai mungkin bersama dengan Islam kerana hanya Islam boleh menyelamatkan seluruh manusia di atas dunia ini khususnya di negara ini. 

“Begitulah isme Nasionalisma perkauman. Berapa lama kita dengar semangat perkauman Melayu, semangat kebangsaan Melayu, adakah boleh menyelamatkan Melayu? Tidak. Yang boleh menyelamatkan Melayu ialah Islam," nasihatnya.

Ancaman ICERD

Menurut beliau, PAS dan Umno sebagai tunjang umat Islam mesti menggerakkan rakyat, dengan memberi kefahaman, penerangan dan penjelasan terhadap bahaya ICERD yang mengancam Islam, Melayu dan Bumiputera dalam negara ketika ini. 

Wal iya zubillah, kita minta berlindung. Kalaulah ICERD ini disahkan, cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang. Ia seolah-olah membuka pintu, maka akan masuk ke dalam pintu itu banjir bah yang akan merosakkan generasi pada hari ini dan generasi akan datang. 

“Bayangkan bagaimana LGBT akan menjadi perkara biasa. Kononnya di atas asas hak asasi manusia. Apa alasan hak asasi manusia sedangkan ianya bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia? Kononnya nak ikut Barat.

“Kalaulah dibuka pintu ICERD ini, bayangkan bagaimana keruntuhan akhlak dan moral berlaku dalam masyarakat kita khususnya anak muda. LGBT akan jadi perkara biasa. Islam Liberal, Islam Pluralisme, Islam Moderate, akan menjadi perbahasan, diterima kononnya di atas asas persamaan,” peringatnya. - HARAKAHDAILY 23/11/2018