20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Dolak dalih 'blaming game' PH jayakan ICERD

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dolak dalih Kerajaan PH dari memberi kepastian kepada cadangan ratifikasi ICERD adalah strategi 'blaming game' dengan memainkan watak 'good cop' dan 'bad cop' dalam sidang Parlimen.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan sedemikian bertujuan mengelirukan rakyat, namun akhirnya mereka akan melaksanakannya.

Beliau mengambil contoh manipulasi isu hutang Kerajaan BN dengan menyalahkan bekas Perdana Menteri, tetapi Belanjawan 2019 di bawah Kerajaan PH defisitnya jauh lebih besar.

Kini terang beliau, apabila rakyat mula mempertikai Menteri-menteri Kerajaan PH mengenai ICERD, maka Ahli-ahli Parlimen mereka pun muncul meredakan keadaan.

"Kata perlu kaji dulu. Perlu lihat keamanan kaum. Inilah watak 'good cop' (polis baik) dan 'bad cop' (polis jahat) dimainkan mereka. Konon dalam penyiasatan.

"Hakikatnya ini politik tidak bermaruah. Jika hendak tandatangan, jawab terus terang. Ini pusing sana, pusing sini," bidasnya pada Forum Bantah ICERD di Kompleks PAS Negeri Sembilan, Seremban, malam kelmarin.

Jelas beliau, 'blaming game' sama pernah berlaku dalam Peristiwa Berdarah Memali apabila Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam ketika itu yang dipersalahkan dan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak tahu.

Namun akhirnya pada tahun lalu, Tun Mahathir mengaku beliau berada dalam negara ketika kejadian yang menyaksikan Ustaz Ibrahim Libya dan 13 rakannya terbunuh syahid.

Lantaran itulah seru beliau, rakyat perlu bersama bangkit menunjukkan bantahan kepada Kerajaan PH untuk sama sekali tidak menandatangani atau mengesahkan ICERD.

Beliau menyeru untuk sama mengambil peranan menyedarkan khususnya anak muda yang pada PRU14 lalu terdapat kalangan mereka mengundi PH atas dasar ekonomi.

Utara beliau, anak-anak muda ini perlu dibentuk kepada fikrah agama dan didekati mereka dengan memanfaat dan menguasai media sosial sebagaimana PH kini menguasai corong maklumat itu. - HARAKAHDAILY 23/11/2018