26
Fri, Apr
22 Artikel Baru

ICERD agenda perkauman, rosakkan kontrak sosial

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kontrak sosial yang telah tertanam menjadi jati diri dalam Perlembagaan Persekutuan lebih 60 tahun merupakan sebab peralihan kuasa dari BN kepada PH berlaku secara tenang dan aman pada PRU lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, tidak berlaku dalam kalangan rakyat sebarang peristiwa pertumpahan darah berikutan tumbangnya kerajaan yang telah memerintah sekian lama.

Menurutnya, asas kepada kontrak sosial itu kerana ia diikat oleh kaum Melayu dan Bumiputera yang berjumlah majoriti 65 peratus dan bakal meningkat kepada 75 peratus beberapa tahun lagi dalam kalangan rakyat negara ini.

Malangnya ujar beliau, ketakutan dan cubaan mengganggu kontrak sosial hari ini dilakukan oleh golongan rasis yang berjumlah kecil, tetapi sejak dahulu komited memperjuangkan kesamarataan dan isme pemikiran mereka sendiri.

Jelas Ir Khairil, kebaikan kaum Melayu yang tercerna pada kontrak sosial itu adalah kerana pegangan mereka kepada Islam sebagaimana dibuktikan dengan mengurus Melaka dahulunya sebagai pelabuhan dunia termaju dan sibuk.

Terangnya, ketika itu pelbagai kaum, bangsa dan agama termasuk orang Cina dan India datang berdagang sutera dan rempah secara aman dan harmoni, serta mengaut hasil keuntungan perniagaan atas keadilan di Melaka.

Suasana baik itu juga bentang beliau, lantaran pemerintah ketika tersebut adalah Sultan yang berpegang dengan konsep beragama, Itqanul Muluk, Batu Bersurat yang bernuansakan Islam.

Namun menurutnya, titik hitam bermula dalam politik tanah air ini apabila pihak asing cuba memaksa Sultan-sultan dengan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 untuk memberi kuasa pemerintahan kepada Residen.

"Maka ulamak-ulamak bangkit berjuang. Tuan Guru Hassan Munas atau Tok Janggut memberi pengajaran kepada orang Melayu untuk berjuang mempertahankan agama. Kerana dengannya bangsa akan selamat sebagaimana Pelabuhan Melaka contohnya.

"Kontrak sosial ini (secara tidak langsung) sebenarnya telah wujud zaman tok nenek moyang kita. Tidak pernah ada sebarang gangguan sejak itu kecuali peristiwa 13 Mei.

"Itupun menurut pakar-pakar sejarah, 13 Mei berlaku kerana pengagihan ekonomi atau jurang yang terlampau melebar," hujahnya pada Forum Bantah ICERD di Kompleks PAS Negeri Sembilan, Seremban, malam kelmarin.

Terang jurutera muda itu, British telah mengambil formula pecah perintah dengan memisahkan kaum Cina tinggal di bandar menguasai ekonomi, kaum India di estet dan Melayu kekal terperosok di kampung.

Hal tersebut menurutnya, menyebabkan kaum Melayu tidak 'memiliki' hak ekonomi negaranya sendiri kerana dikawal oleh penjajah, menyebabkan di bawah pemerintahan sendiri wujud Dasar Ekonomi Baru.

"Kalau segala manifesto telah dijanjikan mereka boleh batal sewenang-wenang, apatah lagi ICERD ini. Perjanjian TPPA, waktu itu Pakatan Rakyat bersama PAS sama-sama berjuang bantah hingga ia pendam.

"Maka ICERD ini juga kita semua kena bangun berjuang supaya Kerajaan PH membatalkan terus untuk meratifikasinya. Sama sekali kita tidak mahu dengar ia akan dikaji dan seumpamanya," tegas beliau.

Jelas beliau, ketika Perlembagaan Persekutuan digubal selepas merdeka oleh Lord Reid melibatkan jawatankuasa luar tanpa perwakilan Melayu sekalipun, Raja-raja Melayu telah setuju dengan syarat tidak menyentuh beberapa perkara.

Antaranya hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera kerana mereka adalah tuan empunya tanah air ini dan Perlembagaan itu dihormati hingga menatijahkan pendekatan politik aman.

Pun demikian ujar beliau, ketika majoriti rakyat negara ini komited dengan Perlembagaan itu, tiada kaum majoriti menjadi 10 orang terkaya dalam negara ini, bahkan juga tidak mendapat biasiswa juga sebagaimana kaum lain.

Mereka yang rasis itu pula katanya, meluluskan Sistem Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan terus mengekalkan Sekolah Jenis Kebangsaan di mana terus menjauhkan antara bangsa di negara ini.

"Jadi, jangan bermain dengan api perkauman. Orang yang tak bertanggungjawab dalam Kerajaan PH ini hanya beberapa kerat dengan sengaja bawa api perkauman supaya kita bergaduh.

"Mereka itu tidak mahu Islam dan orang Melayu memerintah dengan adil. Oleh itu kena pastikan Tun Mahathir dan Kabinet tidak akan sama sekali meratifikasi ataupun tandatangan ICERD.

"Kalau mereka buat juga, rakyat kena pastikan usia pemerintahan mereka tidak lama," ujarnya melontar ingatan. - HARAKAHDAILY 23/11/2018