21
Sun, Apr
20 Artikel Baru

Pemimpin Islam PH takut DAP, tiada prinsip

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pemimpin Melayu Islam di dalam PH hanya diam membisu terhadap kelantangan DAP memperjuangkan agenda ICERD, sedangkan ia jelas satu penipuan dan pengkhianatan, demikian bidas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, PH bersungguh mahu mengesahkan ICERD dengan alasan ianya janji dalam manifesto mereka pada PRU lalu, sedangkan begitu banyak janji lainnya tidak ditunai laksanakan hingga rakyat rasa ditipu dan dikhianati.

“Dalam manifesto mereka janji nak hapuskan tol, hari ini tol diteruskan. Janji nak hapuskan PTPTN, hari ini PTPTN diteruskan. Janji nak turunkan harga minyak, tetapi ianya tidak berlaku. Sepatutnya ini keutamaan kepada perkara-perkara yang menjadi keperluan rakyat, kos sara hidup yang tinggi, maka perlu diselesaikan apa yang telah dijanjikan tadi.

“Tetapi mereka tidak tunaikan janji. Tiba-tiba mereka nak mengesahkan ICERD, mereka mendakwa ini janji kami kepada rakyat yang disebut dalam manifesto. Walhal kita melihat ianya tidak menjadi keutamaan langsung kerana apa? Kerana rakyat dalam negara kita hidup aman sentosa.

“Masyarakat majmuk, orang Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, dan lain-lain lagi. Orang Islam, Buddha, Hindu, Kristian, hidup dalam masyarakat majmuk yang aman sentosa, harmoni. Tiba-tiba mereka kata kami nak sahkan ICERD, ini janji kami kepada rakyat, kami kena tunaikan.” pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam kelmarin.

Tempelaknya, sebelum ini pemimpin Melayu Islam di dalam PH ghairah mengata pemimpin PAS seperti pasu bunga, tetapi mereka sendiri tidak berani berkata-kata kepada pemimpin DAP yang lantang perjuang ICERD hingga wajar dipersoal sensitiviti mereka terhadap kepentingan Islam dan umatnya.

“Sikap mereka ini, kita sudah nampak dan kita faham. Mereka ini menang kerana undi orang bukan Islam dan bukan Melayu. Oleh kerana itulah mereka tak boleh bising-bising. Mereka bising sikit sahaja, DAP pulas telinga.

“Kamu ingat, kamu menang ini kerana kami. Kamu ingat, kamu menang ini kerana undi masyarakat kami, kerana undi orang kami. Ini adalah sikap yang tidak patut, tidak ada pendirian. Tidak ada prinsip,” bidas beliau. - HARAKAHDAILY 22/11/2018