PH juga akan jatuh sebagaimana BN

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS kekal memperjuangkan Islam di atas manhaj wasatiyah yang mendahulukan muwajahah bis silmi dalam pendekatannya sejak ditubuhkan, kerana itulah terus menyertai pilihan raya hingga kini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS juga melaksanakan aktiviti ceramah, mengajar di masjid dan surau, menubuhkan sekolah dan pondok-pondok untuk menyedarkan masyarakat agar kembali kepada Islam.

Namun katanya, PAS dan pimpinannya mendepani tuduhan dan dilabel sebagai parti yang ekstrim, melampau, jahat dan pelbagai lagi sebagaimana pernah dihadapi as-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabatnya.

“Peristiwa Memali yang berlaku ini menyebabkan PAS dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan yang jahat. Kalaulah PAS sebuah parti pengganas, sebuah parti pelampau, nescaya kita tak akan masuk pilihan raya daripada awal lagi, tak payahlah kita ambil daripada awal sejarah PAS masuk pilihan raya. 

“Kalau kita nak ambil batu asas kepada peristiwa berdarah di Kampung Memali ini, semenjak daripada peristiwa itu kita tak perlu masuk pilihan raya lagi, kita ambil pendekatan lain. Tetapi kita tidak mengambil pendekatan lain, kita terus istiqamah dengan pendekatan wasatiyah, muwajahah bis silmi. 

“Kita masuk pilihan raya walaupun kita tahu pilihan raya yang kita sertai banyak penipuan, banyak salah guna kuasa, tetapi kita terus buat kerja kita di semua peringkat, menyedarkan rakyat,” ujarnya pada Majlis Memperingati Peristiwa Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, Baling, malam kelmarin.

Menurutnya, berkat daripada kesungguhan perjuangan kita, hari ini PAS mendapat hasil yang tidak dikecapi oleh generasi sebelum ini, apabila jatuhnya Kerajaan Umno-BN sedangkan tidak pernah terfikir oleh mereka sebelum daripada ini.

Malah katanya, bekas Presiden Umno, Tun Abdullah Badawi pernah menyebut dalam persidangan Perhimpunan Agung Umno, bahawa parti itu akan memerintah 100 tahun lagi, tapi hari ini Allah Taala telah cabut kuasa itu.

Jelas beliau, hal tersebut menjadi pengajaran kepada Umno-BN dan juga Kerajaan PH yang sedang memerintah hari ini bahawa mana-mana kerajaan di atas muka bumi ini tidak kekal untuk selamanya.

“Allah Taala beri Umno-BN memerintah Malaysia 61 tahun. Kita nasihat, kita tegur berkait dengan penyelewengan, salah guna kuasa yang berlaku, kena jaga Islam, kena jaga Melayu. Tetapi tak dengar.

“Hari ini PH memerintah, walaupun memerintah baru enam bulan, tapi kita lihat bermacam-macam kepincangan-kepincangan yang berlaku, konflik dalaman, perbalahan di antara satu sama lain.

“Kalau Umno Barisan Nasional boleh tumbang selepas 61 tahun, maka Kerajaan PH tak mustahil boleh tumbang pada bila-bila masa,” peringatnya. - HARAKAHDAILY 22/11/2018