PH kekalkan tradisi diskriminasi dan jumud

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pekeliling Kementerian Pendidikan yang menetapkan Ahli Parlimen Pembangkang perlu memohon untuk memasuki sekolah kerajaan merupakan satu tradisi diskriminasi dan jumud.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, larangan tersebut menyerlahkan wajah sebenar PH yang masih bermentaliti rakus dan angkuh dengan kuasa, sekali gus mempermainkan mandat telah diberikan rakyat.

Sedangkan PH ujarnya, melaungkan bahawa merekalah juara yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana keghairahan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai ICERD.

"Bagi saya, tindakan ini hanya meneruskan diskriminasi dalam institusi pendidikan. PH mahu rakyat terus dijumudkan pemikiran dan dihantui budaya membodek.

"Warga pendidikan juga ditakut-takutkan dengan pertukaran politik seperti yang pernah berlaku sebelum ini," maklum beliau menyelar halangan bersifat dwi-standard itu.

Jelasnya, isu tersebut terpaksa ditimbulkan beliau dalam perbahasan Parlimen minggu lalu berikutan kekeliruan yang dialami dan terjadi kepada beliau dalam satu program sekolah di Parlimen diwakilinya.

Menurut Ustaz Sabri, program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah itu terpaksa bertukar tempat gara-gara beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah kerana merupakan Ahli Parlimen Pembangkang.

Sedangkan katanya, beliau berpegang kepada kenyataan pemimpin PH bahawa Ahli Parlimen Pembangkang juga boleh memasuki mana-mana premis kerajaan kerana konsep Malaysia Baharu tidak sama dengan Kerajaan BN dahulu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan Ahli Parlimen Pembangkang perlu memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk memasuki sekolah kerajaan bagi menghadiri sebarang program.

"Pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada Kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian," ujarnya ketika berucap pada penggulungan Belanjawan 2019 di Parlimen semalam. - HARAKAHDAILY 20/11/2018