17
Sat, Aug
27 Artikel Baru

Kurang caruman KWSP, usaha ke belakang

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja berumur 61 dan 65 tahun daripada enam kepada empat peratus akan menyebabkan kurang pendapatan tabungan dari majikan kepada golongan itu.

shahir adnanKetua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berpendapat usaha kerajaan itu adalah satu tindakan ke belakang yang mencerminkan ketidakupayaan kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara.

Jelasnya, perlaksanaan dasar kerajaan pada tahun lepas telah menaikkan kadar caruman daripada empat kepada 5.5 peratus untuk golongan tersebut yang dianggarkan sejuta orang.

"Melihat kembali kepada dasar kerajaan yang dibuat pada tahun lepas, kadar caruman sebenarnya dinaikkan daripada empat kepada 5.5 peratus untuk golongan pekerja yang berumur antara 61 dan 65 tahun.

"Tindakan ke belakang atau ‘backward’ ini sebenarnya mencerminkan ketidakupayaan kerajaan dalam mentadbir ekonomi negara.

"Kami berharap kerajaan menjaga kebajikan golongan ini walaupun di usia lewat," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ujarnya, kerajaan tidak seharusnya mencerminkan diskriminasi umur kepada rakyat Malaysia, di saat menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan sibuk melaungkan hak sama rata tanpa diskriminasi kepada semua kaum dan agama.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencadangkan caruman mandatori KWSP untuk majikan dikurangkan kepada empat peratus bermula 1 Januari 2019 ini.

Ujar Guan Eng, langkah itu bertujuan menggalakkan peluang pekerjaan bagi golongan berumur 60 tahun ke atas yang disifatkan tidak perlu mencarum sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna golongan tersebut.

Turut dicadangkan adalah potongan cukai tambahan diberikan kepada majikan dalam perbelanjaan golongan tersebut dengan had jumlah saraan sebanyak RM4,000 sebulan. – HARAKAHDAILY 19/11/2018