21
Sun, Apr
20 Artikel Baru

PAS-Umno anjur himpunan bantah ICERD 8 Dis

Berita
Typography

PASIR SALAK: PAS dan Umno akan mengadakan himpunan besar-besaran di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan PH yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.

Katanya lagi, himpunan itu bukan mahu menimbulkan huru-hara tetapi mahu membetulkan keadaan.

"Kita nak buat perhimpunan aman, rakyat majoriti berhak bersuara,” katanya semasa berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, di sini malam tadi.

Kira-kira 30,000 ahli PAS dan Umno hadir pada perhimpunan yang dihadiri kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan termasuk Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, semalam, Waytha dipetik sebagai berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, berdasarkan sejarah, PAS dan Umno akan bersatu apabila ada kepentingan bersama terutama membabitkan isu orang Islam dan Bumiputera.

Menurutnya, bekas Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra dan bekas Yang Dipertua PAS (kini disebut Presiden) almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy berkongsi pentas di Melaka bagi menuntut kemerdekaan.

Begitu juga, katanya selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila PAS bersama Umno dan parti komponen lain membentuk Barisan Nasional (BN).

Katanya, Umno, PAS, MCA dan MIC sama-sama membentuk Perlembagaan Negara yang antara lain mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan dan hak istimewa orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, sekarang ada pemimpin kerajaan yang baru ‘setahun jagung’ memegang jawatan mahu cuba membawa unsur luar yang menghakis inti pati Perlembagaan dan menuduh pula orang yang menentang ICERD sebagai tidak faham perkara itu.

Beliau turut menyelitkn pantun dalam ucapan.

Mat Kilau berjiwa pahlawan,
Menghunus keris melompat pagar,
Lampu hijau boleh berjalan,
Lampu merah jangan dilanggar.

Pasir tuan Pasir Salak,
Sila datang timba ikannya,
Sarang tebuan jangan dijolok,
Kalau dijolok besar padahnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno akan menyokong perhimpunan pada 8 Disember ini dan mahu perhimpunan ummah yang menggabungkan ahli Umno dan PAS diadakan di setiap negeri di Semenanjung. – HARAKAHDAILY 18/11/2018

pc

t2

t5

t6

t3

t4