18
Thu, Jul
43 Artikel Baru

Janji manis: PH jangan cari alasan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Hutang negara yang dikatakan melebihi RM1 trilion dan nisbah hutang sudah mencecah 70 peratus dilihat hanyalah untuk menagih simpati rakyat kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rakyat diwar-warkan dengan bebanan hutang adalah alasan utama kerajaan untuk tidak menunaikan segala janji-janji manis Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Walau bagaimanapun, hutang RM1 trillion bukanlah hutang kerajaan yang perlu ditanggung oleh kerajaan keseluruhannya.

“Ini kerana, RM1 trilion adalah jumlah yang ditambah daripada hutang kerajaan yang hanya berjumlah RM725.2 bilion dengan liabiliti lain termasuk hutang projek kerjasama awam swasta (PPP),” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kerajaan telah memanipulasi fikiran rakyat dengan mengempar-gemburkan jumlah hutang yang begitu tinggi dan Malaysia berkemungkinan muflis dengan jumlah hutang sebanyak itu.

“Sedangkan lebih 79 buah negara miskin, membangun dan maju yang jauh lebih tinggi hutang negara mereka berbanding kita, antaranya Jepun dan Singapura.

“Lebih-lebih lagi, pada Disember 2017, jumlah hutang negara sebanyak RM686.8 bilion hanyalah 50.7 peratus berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan pada Jun 2018 hutang negara meningkat kepada RM725.7 bilion iaitu 53.4 peratus berbanding KDNK.

“Ianya masih lagi di bawah had statutori 55 peratus yang ditetapkan di bawah Akta Pinjaman (tempatan) dan Akta Perdanaan Kerajaan 1983,” katanya.

Katanya, rakyat sekali lagi ditipu oleh kerajaan atas alasan hutang yang tinggi sehinggakan cukai-cukai baharu perlu diperkenalkan.

Malah janji kerajaan bagi menangguhkan pembayaran PTPTN tidak lagi realisitik disebabkan kewangan negara.

Begitu juga, ujarnya dengan janji kerajaan untuk menghapuskan kadar tol.

Tambahnya, Belanjawan 2019 langsung tidak menyentuh isu penghapusan tol, yang wujud hanyalah pembekuan kenaikan kadar tol.

Justeru itu, beliau menggesa pihak kerajaan agar tidak hanya mancari alasan bagi melepaskan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Tegasnya, rakyat tertunggu-tunggu kerajaan menunaikan segala janji manis bukan hanya menagih simpati daripada rakyat. – HARAKAHDAILY 17/11/2018