Seimbang bangun infra pengangkutan bandar

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH digesa memastikan pembangunan seimbang terutama melibatkan infrastruktur pengangkutan yang perlu juga dilaksanakan pembinaannya di bandar-bandar besar selain Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, peruntukan pembangunan supaya terbinanya sistem pengangkutan yang baik penting kerana ia akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara di bandar-bandar besar berkenaan.

"Sebab bukan Lembah Klang sahaja bayar cukai. Di Johor Bahru, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan juga bayar cukai. Infra pengangkutan ini keperluan yang perlu ditingkatkan seimbang dan setara," ujarnya.

Beliau menekankan isu tersebut ketika mengulas mengenai Belanjawan 2019 dalam program Teh Tarik For Malaysia di Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Gombak, semalam.

Tegas beliau, sebagaimana peruntukan pembangunan infrastruktur pengangkutan seperti Klang Valley Double Tracking Project, LRT, MRT2 dan MRT3 dilaksanakan, ianya juga mesti memenuhi keperluan rakyat di bandar-bandar besar lain disamping penjimatan dan kos kompetitif.

Ir Khairil turut menekankan supaya memastikan masalah serta isu pengagihan bantuan kepada rakyat sebagaimana BR1M di bawah Kerajaan BN dahulu tidak berlaku kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan Kerajaan PH.

Beliau mengingatkan supaya dipastikan rakyat yang layak benar-benar menerima bantuan tersebut, selain membantu rakyat meningkatkan daya berdikari dengan "memberikan joran, tidak semata-mata ikan".

Begitu juga tegasnya, dalam memastikan jaminan agihan peruntukan RM2 bilion bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) benar-benar sampai agar pengusaha berkenaan dapat maju dan bergerak dalam usaha mereka. - HARAKAHDAILY 9/11/2018