Tiada pembalakan di Kelantan musim tengkujuh

Berita
Typography

KOTA BHARU: Sudah menjadi kelaziman di Kelantan tiada aktiviti pembalakan pada musim tengkujuh yang bermula Oktober setiap tahun.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, syarikat pembalakan menghentikan operasi mereka kerana laluan lori balak sukar menjelang musim tengkujuh.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang peringatan kepada pihak berkenaan supaya menghentikan operasi pembalakan.

"Sudah menjadi lumrah pembalak menghentikan operasi mereka apabila memasuki musim tengkujuh.

"Kalau ada arahan pun ia dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri dan ia bergantung kepada keadaan semasa. Biasanya Februari tahun hadapan baru operasi dimulakan semula,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Kelantan dan Terengganu mengikut jejak langkah Pahang menghentikan sementara aktiviti pembalakan pada musim tengkujuh bagi mengelakkan tragedi buruk. – HARAKAHDILY 7/11/2018