Dasar Pendidikan Rabbani jadi model

Berita
Typography

KOTA BHARU: Dasar Pendidikan Rabbani (DPR) menjadi tunjang perkembangan pendidikan Islam di Kelantan pada masa hadapan. Dasar baharu itu dilancarkan pada Februari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, beberapa usaha dilakukan bagi memastikan hasrat itu tercapai.

Antaranya kerajaan negeri menawarkan kerjasama kepada semua pihak bagi memberi sumbangan idea serta kepakaran bagi memperkasakan DPR yang boleh menjadi model kepada negeri-negeri lain.

"Kelantan menawarkan usaha agar kita boleh bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan untuk dikembangkan dasar pendidikan rabani.

"Kita mengadakan kerjasama dengan Persatuan Intelektual Muslim Malaysia yang melibatkan 15 pakar pendidikan diketuai Dato' Dr Abdul Halim Tamuri sejak 2014," katanya pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam Pendidikan Rabbani (ICIED) 2018 di sebuah hotel di sini semalam.

Perasmian seminar itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantna, Dato’ Abdullah Ya’kub.

Sebanyak 107 kertas kerja dibentangkan pada seminar itu. Ia bertema Bersama Membina Generasi Rabbani. - HARAKAHDAILY 5/11/2018