26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

Pinjam bank untuk beli saham tidak patut berlaku

Berita
Typography

AHLI Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad menegaskan pelaburan yang dibuat melalui pinjaman atau hutang merupakan kaedah yang tidak wajar diamalkan dibimbangi akan mengundang risiko yang lebih besar.

Sepatutnya kata beliau, pelaburan yang baik dan berkesan adalah melalui lebihan wang bukannya dengan membuat pinjaman atau berhutang.

"Misalnya dalam FGV, peneroka-peneroka diberi pinjaman duit untuk membeli saham, akhhirnya saham jatuh mereka yang menanggung beban. Begitu juga dalam kes 1MDB kalau pinjaman untuk pelaburan perlu difikirkan," katanya.

Katanya, mereka yang hendak berhutang perlu 'ukur baju di badan sendiri' sama ada layak atau tidak untuk memiliki kereta kancil atau perdana.

Apa yang berlaku hari ini, katanya, ramai golongan muda sudah diisytihar bankrup oleh Jabatan Insolvensi kerana dibelenggu hutang yang banyak akhirnya menjejaskan masa depan mereka.

Idris turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan syarat yang ketat kepada peminjam-peminjam agar mereka tidak mudah untuk terus berhutang.

"Harap selepas ini syarat ketat perlu dikenakan untuk sebarang pinjaman yang hendak dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid membangkitkan soal caj 12 peratus yang dikenakan oleh bank kepada penghutang yang hendak membersihkan namanya daripada senarai bankrup.

"Hutang semua sudah selesai tetapi hendak 'settle' nama daripada bankrup pula dikenakan bayaran sebanyak 12 peratus. Ini satu beban yang tidak munasabah. Perkara ini serius," soalnya.

Perkara ini juga turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin yang mempersoalkan tindakan institusi kewangan bukan sahaja mengenakan 12 peratus kepada penghutang bahkan mereka pula dikehendaki membayar caj RM900 hingga RM1200. – HARAKAHDAILY 29/3/2017