19
Wed, Jun
19 Artikel Baru

Selangor pastikan pemaju patuh syarat pembangunan

Berita
Typography

SEBARANG pembangunan pemajuan di Selangor perlu memperoleh kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah dinilai oleh Jabatan-Jabatan Teknikal di peringkat PBT seperti Jabatan Pembangunan, Jabatan Penilaian dan Jabatan Perancang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata penguatkuasaan berasaskan perundangan seringkali dilakukan oleh PBT mahupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya masih terdapat projek-projek yang tidak berlesen dibuat di tapak-tapak tanah pertanian yang berukuran kurang daripada satu ekar setiap satu.

"Ianya agak sukar untuk dipantau kerana seringkali urusan tukar syarat tanah tidak dilaksanakan," jelasnya yang juga Adun Pandan.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui PBT akan sentiasa memastikan pihak pemaju mematuhi segala syarat Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (BP) yang telah diluluskan bagi mengelakkan tindakan perundangan dibuat ke atas pemaju-pemaju yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Selain itu, ujar beliau kesedaran pembeli juga perlu memandangkan mereka hendaklah memastikan pemaju berlesen dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui penetapan syarat yang telah ditetapkan.

Tambahnya, tindakan perundangan terhadap pemaju-pemaju berlesen boleh dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) yang telah memperuntukkan seksyen-seksyen tertentu yang melibatkan penalti kesalahan sekirannya pemaju-pemaju tersebut dengan sengaja ataupun tidak melanggar syarat-syarat yang telah diluluskan.

"Kesedaran pembeli juga penting kerana kegagalan pembeli mengetahui hak masing-masing bakal menyumbang kepada masalah berhubung pengurusan, kejiranan dan kehidupan sosial pada masa akan datang," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 29/3/2017