Kolej universiti: KIAS aju permohonan sejak 2011

Berita
Typography

SEJAK beroperasi pada Ogos 1999, hanya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kelantan belum dinaik taraf kepada Kolej Universiti.

Sedangkan permohonan sudah diajukan KIAS kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 2011. Malah sebahagian besar syarat ditetapkan sudah dipenuhi.

Manakala kolej-kolej lain di luar Kelantan yang hampir sama usia dengan KIAS sudah lama dinaik taraf menjadi kolej universiti.

Malah Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah pihak kementerian wajar mempertimbang menaik taraf KIAS kepada kolej universiti.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dun Kelantan Ke-13 di Kota Darulnaim minggu lepas.

kias1Ketua Eksekutif KIAS Prof Dr Ab Aziz Mohd Zain berkata, permohonan bagi menaik taraf kolej tersebut sudah diaju kepada kementerian pada 2011.

Katanya selepas tiga tahun baru pihak terbabit menjawab permohonan KIAS dengan meletakkan syarat supaya beberapa kriteria perlu dipenuhi.

Antaranya bilangan pelajar antarabangsa perlu ditambah, prasarana lebih lengkap dan memastikan 60 peratus pelajar tinggal di asrama KIAS.

“Selepas menerima cadangan daripada kementerian pada 2014 kami berusaha memenuhi syarat ditetapkan dengan melakukan beberapa perubahan.

“Pada pandangan kami kemudahan pembelajaran yang ada di KIAS dianggap sudah mencukupi, namun kementerian mahu ia ditambah baik lagi,” katanya ditemui di Nilam Puri Kota Bharu hari ini.

Sehubungan itu Dr Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menghantar permohonan baru tahun ini seiring dengan beberapa perubahan yang dilakukan.

KIAS merupakan institusi tinggi pengajian agama milik kerajaan negeri. Ia diurus KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Sekarang mempunyai kira-kira 2,000 pelajar di mana 100 daripadanya pelajar luar negara. Manakala pensyarah seramai 83 orang.

KIAS mengendalikan 13 program peringkat diploma termasuk Usuluddin, Syariah, Kewangan Islam, Perbankan Islam, Dakwah dan Media, Kaunseling Islam dan Pengurusan Lojistik.

Manakala program ijazah Usuluddin dan Syariah berkembar dengan Kolej Universiti Insaniah. - HARAKAHDAILY 29/3/2017