Kerajaan ditanya tentang peperiksaan CLP

Berita
Typography

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi disarankan untuk memperkenalkan mata pelajaran khusus di universiti luar negara supaya pelajar jurusan undang-undang tidak perlu mengambil peperiksaan CLP (Certificate in Legal Practice).

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, setiap pelajar undang-undang lulusan luar negara yang kembali ke negara ini perlu mengambil peperiksaan CLP terlebih dahulu sebelum mereka boleh melakukan 'chambering'.

Misalnya kata beliau, graduan lulusan undang-undang daripada United Kingdom, Australia dan New Zealand yang balik ke sini perlu mengambil CLP supaya dapat membiasakan dengan pengetahuan undang-undang dalam negara.

"Sedangkan CLP memerlukan kos tambahan perbelanjaan yang banyak dan sukar untuk lulus. Kadar kelulusan begitu rendah antara 10 hingga 20 peratus sahaja.

"Adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan mata pelajaran di universiti luar negara," katanya ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Di dalam soalan asal Takiyuddin meminta Menteri Pendidikan menyatakan berapa buah IPTA di Malaysia yang mana Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang ditawarkan belum lagi diiktiraf oleh Kementerian
dan pihak-pihak berkaitan untuk graduannya menjadi seorang peguam.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching menegaskan setiap pelajar lulusan luar negara perlu mengambil CLP mempunyai sebab-sebab tertentu iaitu terikat dengan Akta 166.- HARAKAHDAILY 28/3/2017